TDM Plantation Sdn Bhd peruntukkan RM70 juta bagi membina 712 unit rumah baharu untuk pekerja ladang di Terengganu | DagangNews Skip to main content

TDM Plantation Sdn Bhd peruntukkan RM70 juta bagi membina 712 unit rumah baharu untuk pekerja ladang di Terengganu

Pekerja TDM Plantation, Yusri Afindi dan Rosliza gembira dapat tinggal di rumah baharu yang lebih selesa di Ladang Jaya dekat Sungai Tong, Setiu Terengganu.
oleh HUSNA ABDULLAH

SETIU 21 Julai - TDM Plantation Sdn Bhd, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk membina 712 unit rumah baharu kepada pekerja di ladang mereka secara berperingkat sejak tahun 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim berkata, pembinaan rumah baharu yang dikenali sebagai Projek Teduhan tersebut bertujuan menggantikan rumah lama pekerja yang dibina pada tahun 1970-an.

 

Menurutnya, kebanyakan rumah pekerja sudah usang dan daif mendorong Lembaga Pengarah TDM Plantation bersetuju untuk membina kediaman baharu agar pekerja ladang dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa bersama keluarga.

 

"Projek Teduhan ini dibahagikan kepada empat fasa secara berperingkat dengan sasaran pembinaan dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun.


 
"Setakat ini, sebanyak 56 unit rumah telah siap dibina di bawah fasa satu, 24 unit lagi sedang dalam pembinaan dan 200 unit lagi akan dibina pada tahun 2023 ini," katanya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pekerja Ladang Jaya yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dekat Sungai Tong di sini, Khamis.


 

tdm
Ahmad Samsuri memotong riben, simbolik perasmian 56 unit rumah baharu untuk pekerja ladang TDM Plantation di Sungai Tong, Setiu Terengganu pada 20 Julai 2023.

 

tdm
Rumah baharu pekerja agar lebih selesa dapat meningkatkan kualiti kerja di sektor perladangan TDM Plantation.

 


Mengulas lanjut, Hamdan berkata, TDM Plantation juga mengambil langkah untuk menyediakan kemudahan tambahan seperti pusat kesihatan dan pendidikan untuk meningkatkan kualiti hidup pekerja ladang dan keluarga mereka.  


 
"Kami akan terus berusaha dalam melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat kepada pekerja seterusnya mencipta budaya kerja yang positif, motivasi yang tinggi, dan kestabilan dalam industri perladangan," katanya.

 

Beberapa pekerja ladang yang ditemui pula bersyukur kerana impian memiliki rumah kuaters yang selesa akhirnya tercapai hasil inisiatif TDM Plantation yang menjaga kebajikan mereka.

 

Yusri Afindi Abd Rahman, 48, berkata, rumah baharu itu sangat selesa dengan keluasan 1,000 kaki persegi berbanding rumah lama yang berkeluasan 822 kaki persegi.  


 
"Rumah baharu ini juga dilengkapi  dengan kemudahan asas seperti bilik tidur, ruang tamu yang luas, dapur yang lengkap, serta bilik mandi yang bersih dan selesa serta ruang khas untuk utiliti," katanya.


 

parafrasa

 

tdm

 


Seorang lagi pekerja, Rosliza Mohd, 32, pula gembira kerana dapat tinggal di rumah baharu dengan lebih selesa bersama suami, Mohd Hafizzal Salleh dan dua anak mereka.

 

"Dulu, rumah kayu sekarang dapat rumah batu. Anak-anak pun seronok kerana ada kemudahan rekreasi seperti taman permainan, padang bola dan tempat riadah untuk mereka bermain setiap petang.

 

"Saya lahir dan dibesarkan di sini kerana ibu bapa saya juga adalah pekerja ladang TDM Plantation satu ketika dahulu. Harapan saya agar anak-anak akan dapat memanfaatkan kemudahan yang ada di sini untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga pada masa depan," katanya. - DagangNews.com