Tekanan inflasi jadi penentu kenaikan OPR melebihi 3% tahun ini, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi jadi penentu kenaikan OPR melebihi 3% tahun ini, kata AmInvestment

Ekonomi Malaysia di peringkat domestik berada dalam kedudukan kukuh tetapi sebahagian besar cabaran berpunca daripada faktor luaran. - Gambar hiasan : Facebook Fama Kelantan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Jan - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih perlahan sekitar 4.5% pada 2023, berbanding anggaran 8.5% hingga 9% tahun ini ekoran kelembapan global akan mengekang pertumbuhan negara, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

 

Namun begitu, pembukaan semula sepenuhnya, pemulihan pasaran pekerjaan dan gaji, inflasi yang terurus dan subsidi akan mengekalkan permintaan dalam negeri.

 

Menurutnya, peningkatan berterusan pasaran pekerjaan sejak pembukaan semula ekonomi akan terus menyokong penggunaan swasta. 

 

Selain itu, ia tidak menjangkakan sebarang situasi yang tertekan ekoran kebimbangan kedudukan kunci kira-kira pengguna di Malaysia kerana kadar faedah yang lebih tinggi akibat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) mencerminkan normalisasi dasar dan bukannya pengetatan monetari.

 

Firma itu mendapati inflasi di Malaysia pada 2022 adalah antara yang terendah di rantau ini berikutan langkah kerajaan melaksanakan subsidi hampir RM80 bilion bagi mengekalkan harga RON95, diesel, elektrik dan barangan makanan terpilih kekal pada paras yang wajar.

 

Tanpa subsidi, inflasi boleh meningkat sehingga 14% berdasarkan anggaran kerajaan. Pada 2022, inflasi dijangka berlegar sekitar 3.3%, tertinggi sejak pandemik COVID-19.

 

"Namun, kami mengunjurkan inflasi akan menyederhana pada 3% tahun ini mencerminkan pengukuhan ringgit dan harga komoditi yang lebih rendah. 

 

"Inflasi teras pula dijangka menurun seiring dengan kadar penggunaan swasta yang lebih perlahan dalam tempoh yang sama," katanya dalam laporan prospek 2023 hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Terdapat beberapa faktor yang akan mengubah prospek inflasi tahun ini, terutama pelaksanaan subsidi bersasar yang akan memansuhkan harga siling RON95 dan diesel serta masalah banjir atau bencana yang kerap berlaku boleh menjejaskan harga makanan dan logistik. 

 

Pada masa sama, kelemahan ringgit yang tidak dijangka meningkatkan harga makanan yang diimport.

 

Mengenai OPR, AmInvestment menjangkakan kenaikan 25 mata asas (bps) kepada 3% tahun ini, menyamai paras sebelum pandemik COVID-19. 

 

"Kenaikan ini kemungkinan sekali sahaja dan terakhir buat tahun ini. Namun, kami tidak menolak jika ada lagi kenaikan 25 bps (selepas kenaikan pada Januari) jika tekanan harga kekal tinggi terutamanya daripada permintaan. 

 

"Ia turut dipengaruhi langkah beberapa bank pusat yang mengetatkan monetari lebih cepat daripada jangkaan dengan harga komoditi terus meningkat dan sebarang kenaikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjakkan inflasi teras melebihi 4%. 

 

"Sekiranya inflasi teras terbukti lebih sukar daripada apa yang dijangkakan buat masa ini, maka, unjuran OPR mungkin perlu disemak semula," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurutnya, ekonomi Malaysia di peringkat domestik berada dalam kedudukan kukuh tetapi sebahagian besar cabaran berpunca daripada faktor luaran. 

 

Ini terutamanya disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi dalam kalangan bank pusat utama termasuk Rizab Persekutuan AS (Fed), Bank of England dan European Central Bank (ECB) dalam usaha mengekang kenaikan inflasi.  

 

Jelasnya, risiko pengetatan dasar monetari secara berlebihan, sehingga ke tahap yang memberi kesan teruk kepada pertumbuhan ekonomi tidak memberi petanda yang baik untuk Malaysia.

 

"Kini kebanyakan ekonomi menjangkakan kelembapan dalam kalangan negara utama ekonomi. Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan perlahan kepada 1% pada 2023 daripada 1.6% tahun lalu manakala United Kingdom susut kepada 0.3% (daripada 3.6% pada 2022) dan Eurozone kepada 0.5% (daripada 3.1% pada 2022). 

 

"Sehubungan itu, kelembapan ekonomi global yang teruk mungkin mencetuskan perubahan aset, bermakna dolar AS akan meningkat dengan mengorbankan mata wang pasaran baharu muncul," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Pada masa sama, konflik geopolitik antara negara ekonomi utama masih belum berakhir termasuk antara Rusia dan Ukraine. 

 

Ketegangan berterusan boleh mendorong harga komoditi lebih tinggi dan memburukkan lagi krisis tenaga, naratif yang serupa atau mungkin lebih mengerikan daripada yang dilihat pada 2022.

 

Firma itu menjangkakan ringgit akan berlegar pada paras RM4.20 hingga RM4.30 menjelang akhir tahun ini apabila dolar AS sudah mencapai kemuncaknya. 

 

"Selain itu, kami berpendapat asas ringgit masih kukuh. Meskipun kelemahan dolar AS kekal menjadi asas pandangan kami, tetapi kami berpendapat ia tidak mungkin diniagakan di bawah paras RM4 kerana ia membayangkan terlebih penilaian terhadap ringgit," katanya. - DagangNews.com