Tekanan kos input, harga produk Panasonic mungkin dinaikkan lagi | DagangNews Skip to main content

Tekanan kos input, harga produk Panasonic mungkin dinaikkan lagi

Panasonic sebelum ini telah menaikkan kira-kira 5% hingga 10% dalam beberapa produk keluarannya. - Gambar : Facebook Panasonic Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Julai - Peningkatan kos input dan perbelanjaan operasi dijangka terus memberi tekanan kepada margin Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. yang mungkin menyaksikan harga produknya akan dinaikkan lagi, demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma itu mendapati, harga bahan mentah seperti kuprum, aluminium dan keluli masing-masing telah meningkat 16%, 59% dan 84% pada Mac 2022 berbanding April 2021. 

 

Malah, ia juga menjangkakan kos operasi meningkat berikutan kenaikan gaji minimum bermula 1 Mei lalu dan kenaikan harga daripada pembekal. 

 

"Bagi mengurangkan tekanan kos yang semakin meningkat ini, kami memahami bahawa Panasonic telah menaikkan kira-kira 5% hingga 10% daripada produk tertentu (terutama produk kipas angin) dan ia tidak menolak kemungkinan harga akan terus dinaikkan pada suku akan datang.

 

"Bagaimanapun, kami bimbang mengenai risiko permintaan kerana kuasa beli pengguna yang semakin berkurangan pada separuh kedua 2022 di tengah-tengah tekanan inflasi yang tinggi dan portfolio produknya yang semakin kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam taklimat dengan Panasonic baru-baru ini, kumpulan menjangkakan momentum pemulihan jualan akan terjejas dengan penamatan perniagaan produk periuk nasi sejak 31 Mac lalu dan kelengkapan dapur yang lain pada 30 September 2022.

 

Kumpulan memberi panduan sebelum ini bahawa perniagaan periuk nasi adalah merugikan disebabkan pengeluaran periuk masak perlahan (slow cooker) menggunakan barisan pengeluaran yang sama dengan periuk nasi manakala penamatan pengeluaran pengisar dan pemproses makanan adalah sebahagian daripada usaha penjajaran semula pengeluaran global Kumpulan Panasonic.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan momentum pemulihan jualan bagi FY23 akan terus terjejas akibat perbelanjaan pengguna yang lemah dan penamatan beberapa barisan produk keluarannya," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Panasonic dengan harga sasaran lebih rendah pada RM26.50 daripada RM28.40 sebelum ini. 

 

"Kami juga mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 5.1% hingga 9.4% bagi mencerminkan hasil yang lebih rendah dan anggaran margin berikutan kenaikan kos input," katanya.

 

Setakat 12.18 tengah hari, harga sahamnya menokok 6 sen atau 0.23% kepada RM26.38 dengan 1,800 saham diniagakan. - DagangNews.com