Teladan terima kelulusan pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Teladan terima kelulusan pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Teladan Group Berhad menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk memindahkan penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Teladan berkata ia telah memenuhi keperluan keuntungan untuk pemindahan seperti dalam Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, iaitu minimum RM20 juta dalam agregat keuntungan selepas cukai (PAT), serta keuntungan bersih RM6 juta untuk tahun kewangan terkini.

 

Kumpulan itu mencatatkan agregat PAT sebanyak RM93.1 juta bagi tiga tahun kewangan yang lalu berakhir 31 Disember 2020 hingga 2022 dan keuntungan bersih sebanyak RM32.3 juta untuk FY22.

 

Mengulas tentang kunci kira-kira, Teladan berkata ia kukuh dengan merekodkan aset semasa dan liabiliti semasa masing-masing RM215.5 juta dan RM98.2 juta, manakala tunai dan setara tunai berjumlah RM132.7 juta pada FY22.

 

Teladan mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat, memenuhi kriteria pengekalan modal kerja yang mencukupi selama 12 bulan, secara konsisten menjana aliran tunai positif daripada aktiviti operasi sepanjang tiga tahun kewangan yang lalu dan tidak mengalami kerugian terkumpul.

 

Kumpulan juga memenuhi keperluan tebaran pegangan saham awam sekurang-kurangnya 25%, iaitu kira-kira 25.18% setakat pertengahan April 2023.

 

Pengarah Urusan Teladan, Richard Teo Lay Ban berkata pemindahan penyenaraian kepada Pasaran Utama membuktikan komitmen kumpulan terhadap pertumbuhan, membolehkannya merebut peluang selanjutnya untuk pengembangan dan pembangunan.

 

Sebagai entiti tersenarai Pasaran Utama, Richard berkata Teladan kini mampu menarik lebih ramai pelabur institusi dengan kebolehcapaian pasaran modal yang dipertingkatkan.

 

 

Richard Teo Lay Ban
Richard Teo Lay Ban

 

 

“Selain itu, langkah ini meningkatkan imej korporat kami, memupuk pengiktirafan yang lebih besar dan keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang Teladan.

 

“Melangkah ke hadapan, prospek pasaran pembangunan hartanah Malaysia kekal menjanjikan. Komitmen kerajaan untuk mempromosi pemilikan rumah, meningkatkan kemampuan perumahan, dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui projek infrastruktur mega yang diberi keutamaan bersedia untuk merangsang pasaran hartanah dan meningkatkan sentimen pasaran,” katanya dalam kenyataan tersebut.
 

Sehingga 31 September 2023, Teladan memegang mempunyai bank tanah belum dibangunkan di Melaka seluas kira-kira 396 hektar.

 

Bagi pembayaran dividen, kumpulan telah membayar dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham bagi FY23 untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya.  - DagangNews.com