Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov - Teleport, cabang logistik airasia Digital, memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri kargo dan logistik serantau dengan pelancaran pesawat 737-800 pertamanya hari ini, termasuk rekaan corak yang unik pada badan pesawat.
Rekaan pesawat baharu tersebut mencerminkan jenama Teleport sebagai penyedia perkhidmatan kargo yang bersedia untuk melakukan penerbangan pertamanya di seluruh laluan utama di Asia.
Rekaan itu juga mewakili falsafah perkhidmatan Teleport dan komitmennya untuk menjadikan Teleport dan AirAsia Group sebagai antara 3 penyedia perkhidmatan kargo teratas mengikut kapasiti di Asean.
Penambahan pesawat kargo baharu ini menjadikan jumlah pesawat semasa Teleport kepada 252 buah (termasuk pesawat penumpang AirAsia Group) dan akan membolehkan kapasiti yang lebih konsisten pada laluan kargo udara utama di seluruh Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz berkata, pertumbuhan perkhidmatan kargo di pasaran baharu dan peningkatan dalam hasil kargo udara berikutan perkembangan e-dagang dan teknologi dalam teknologi pesawat baharu dan pendigitalan industri telah memacu fokus syarikat.
"Kami percaya penambahan pesawat kargo ini akan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam industri ini dan menjangka lebih banyak pesawat kargo akan dikendalikan pada masa akan datang. Ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan syarikat tetapi juga membantu mempertingkatkan operasi kami untuk memenuhi keperluan pasaran kargo udara seperti muatan palet, kekerapan penerbangan, jadual penerbangan yang boleh dipercayai dan waktu pelepasan atau ketibaan tertentu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berpangkalan di Bangkok, pesawat tersebut mampu mencapai pasaran utama termasuk Hong Kong, Shanghai, Chennai, Mumbai dan semua destinasi utama di Asia Tenggara dari Thailand, menghubungkan pasaran jarak jauh ke Asia Tenggara melalui kapasiti kontena.
Selain itu, pesawat tersebut mempunyai dek utama khas untuk kontena dan kapasiti sebesar 21T maksimum yang mampu membawa barangan di bawah kategori Barang Berbahaya mengikut garis panduan IATA, termasuk bateri Litium.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata, penambahan pesawat kargo ini akan memacu visi syarikat untuk beralih daripada penyedia logistik pengangkutan udara kepada pengendali modal-pelbagai yang lengkap.
"Kami sentiasa berkembang pantas untuk terus memacu perniagaan kargo udara Teleport ke hadapan dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk apa sahaja ke seluruh Asia Tenggara.
"Kami menjangka perkembangan ini bukan sahaja akan memperkukuh perkhidmatan Teleport malah memanfaatkan semua pemain industri," katanya. -DagangNews.Com