Tempahan pelanggan utama lemah, AmInvestment semak turun unjuran pendapatan FY24 VS Industry sebanyak 12% | DagangNews Skip to main content

Tempahan pelanggan utama lemah, AmInvestment semak turun unjuran pendapatan FY24 VS Industry sebanyak 12%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan VS Industry Berhad bagi FY24 sebanyak 12% selepas mengambil kira tempahan lebih lemah daripada pelanggan utama selain margin keuntungan lebih rendah.

 

Katanya, hasil 1HFY24 akan dipengaruhi oleh Pelanggan X (yang menyumbang 25% hingga 30% daripada hasil FY24), inventori yang tinggi dengan sentimen pengguna semasa yang lemah terutama di wilayah Barat disebabkan inflasi serta kadar faedah yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu bagaimanapun boleh diimbangi sebahagiannya oleh pelancaran model baharu daripada pelanggan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, memandangkan kadar penggunaan kilang yang lebih rendah, kumpulan itu akan cuba mengurangkan margin keuntungan dengan menggabungkan beberapa proses dalaman yang sebelum ini disumber luar.

 

"Kami percaya ia tidak mencukupi untuk mengimbangi skala ekonomi yang semakin berkurangan. Oleh itu kami mengurangkan unjuran margin untung kasar FY24 sebanyak 3.8% berbanding 4% sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment menjangkakan, hasil dan keuntungan 2QFY24 kumpulan menjadi lebih lemah disebabkan permintaan yang perlahan daripada pelanggan utama.

 

Bagaimanapun, mereka percaya bahawa pemulihan progresif boleh bermula pada 2HFY24 dengan jangkaan tahap inventori pelanggan yang semakin berkurangan.

"Bagi pelanggan baharu yang lain, kumpulan itu telah menjalankan rundingan secara aktif namun masih belum ada sebarang keputusan mengenainya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan dengan harga wajar (FV) 67 sen sesaham. - DagangNews.com