Tenaga boleh diperbaharui, sumber pendapatan baharu Minetech | DagangNews Skip to main content

Tenaga boleh diperbaharui, sumber pendapatan baharu Minetech

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Langkah Minetech Resources Berhad untuk menceburi perniagaan tenaga boleh diperbaharui dijangka mampu menyumbang lebih 25% kepada keuntungan bersih syarikat pada masa akan datang.

 

Seiring hasrat Minetech, pemegang saham syarikat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) telah meluluskan penembusan perniagaannya ke dalam sektor berkenaan serta minyak dan gas, selain resolusi pengurangan saham modal untuk membiayai pengembangan perniagaan turut dipersetujui.

 

Dalam EGM yang diadakan secara maya semalam, pemegang saham Minetech turut meluluskan resolusi untuk penempatan sebanyak 349,598,600 saham baharu dengan terbitan hak berjumlah 582,664,400 saham pilihan boleh tukar yang tidak dapat ditebus (ICPS).

 

Pengerusi Eksekutif Minetech, Pengiran Datuk Awang Daud Awang Putera berkata, syarikat dijangka menjana hasil sehingga RM85.1 juta menerusi penempatan saham dan ICPS itu.

 

Selain daripada modal kerja, beliau berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk membiayai projek pembinaan Minetech yang sedia ada dan akan datang, pengembangan syarikat ke dalam sektor minyak dan gas selain perluasan perniagaan, pelaburan dan langkah pengambilalihan.

 

Pengiran Datuk Awang Daud Awang Putera
Pengiran Awang Daud Awang Putera

 

“Persetujuan daripada penempatan saham dan ICPS ini membolehkan kami untuk menceburi sektor tenaga yang boleh diperbaharui serta minyak dan gas, di mana kami telah mengenal pasti sebagai penyumbang hasil yang berpotensi, 25% atau lebih kepada keuntungan bersih kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai rekod, Minetech pada Mac lalu telah mendaftarkan syarikat sebagai Pelabur Fotovoltan (PV) Tenaga Solar dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

 

Di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih ( NEM) 3.0, Minetech dibenarkan untuk menjual tenaga elektrik kepada agensi kerajaan, perniagaan dan juga individu.

 

“Projek NEM 3.0 akan dilaksanakan sebagai tambahan kepada Jana Tenaga Solar yang kini dibina di Pantai Remis, Perak,” kata Awang Daud lanjut.

 

Semasa EGM berkenaan, cadangan untuk pengurangan modal saham sebanyak RM90 juta diterima pakai untuk membantu syarikat mengurangkan atau menghapuskan kerugian yang terkumpul.

 

Jelas syarikat, langkah itu tidak akan mendatangkan kepada sebarang pengubahsuaian harga pasaran, sebaliknya membolehkan Minetech untuk menganugerahkan pemegang saham dengan satu dasar dividen. - DagangNews.com