Tender tanah baharu perkukuh kehadiran Sunway di Singapura, MIDF Research naikkan harga sasaran kepada RM3.01 | DagangNews Skip to main content

Tender tanah baharu perkukuh kehadiran Sunway di Singapura, MIDF Research naikkan harga sasaran kepada RM3.01

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Tender tanah yang diperoleh Sunway Berhad bersama Hoi Hup Realty Ptd Ltd di Singapura mengukuhkan kehadiran Sunway di Singapura.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia merupakan tender kedua kumpulan itu di Plantation Close, Tengah selain dua lagi projek yang sedang berjalan, iaitu Terra Hills dan The Continuum.

 

Pada September 2023, usaha sama Sunway-Hoi Hup telah memperoleh tender tanah pertama di Tengah Plantation bernilai S$348.5 juta (RM1.2 bilion) untuk pembangunan kondominium eksekutif.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway, Hoi Hup raih tender untuk tanah bernilai RM1.5 bilion di Singapura

 

Sementara itu, tender tanah baharu seluas 2 hektar yang diperoleh di kawasan sama bernilai S$423.38 juta (RM1.5 bilion) juga untuk pembangunan kondominium eksekutif dengan tempoh pajakan 99 tahun.

 

MIDF Research berpendapat bahawa tender tanah yang diperoleh Sunway beri kesan terhad kepada pendapatannya dalam jangka terdekat.

 

Hal ini kerana syarikat itu menyasarkan untuk melancarkan projek pada pertengahan 2025 dan oleh itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran pendapatan untuk tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25).

 

“Sunway berhasrat untuk membiayai anugerah tanah melalui dana dan pinjaman yang dijana secara dalaman.

 

“Kami menganggarkan penggearan bersih Sunway meningkat sedikit sehingga 0.58 kali daripada 0.54 kali pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Sunway dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM3.01 sesaham daripada RM2.25 sebelum ini setelah mengemas kini penilaian jumlah bahagian saham itu.

 

“Kami menilai bahagian penjagaan kesihatan pada nilai perusahaan (EV)/EBITDA sebanyak 20 kali  kerana penyenaraian bahagian penjagaan kesihatannya menjelang 2027 akan membuka kunci nilai bahagian penjagaan kesihatannya. 

 

“Kami juga mengemas kini penilaian untuk bahagian pembinaan, selaras dengan anggaran pendapatan dalaman kami untuk Sunway Construction. 


“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ kerana kami percaya bahawa kehadiran hartanah Sunway yang semakin kukuh di Singapura, mempertingkatkan prospek Sunway Iskandar dan penyenaraian bahagian penjagaan kesihatan akan menyediakan pemangkin dalam jangka sederhana,” tambahnya.

 

Setakat pukul 9:45 pagi ini, saham Sunway telah menokok 3 sen atau 1.1% kepada RM2.76 dengan permodalan pasaran sebanyak RM15.3 bilion dan sebanyak 2.28 juta saham bertukar tangan.  - DagangNews.com