Tengku Mahkota Johor lantik KJ sebagai Penasihat Belia Johor, anggotai Lembaga Pengarah JDT | DagangNews Skip to main content

Tengku Mahkota Johor lantik KJ sebagai Penasihat Belia Johor, anggotai Lembaga Pengarah JDT

KUALA LUMPUR 15 Feb - Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin telah dilantik sebagai Penasihat Belia Johor dan juga dalam Lembaga Pengarah Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Khairy dan bersetuju untuk melantik bekas ahli parlimen UMNO itu ke dua jawatan itu.

 

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberi nilai tambah kepada pembangunan belia dan kemajuan bola sepak di Johor,” tulis Tunku Ismail dalam catatannya di laman Facebook beliau hari ini.



Pada 28 Jan, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak itu membayangkan kemungkinan menawarkan jawatan ketua pegawai eksekutif JDT FC dan Penasihat Belia Johor kepada Khairy, yang juga bekas menteri belia dan sukan.

 

 

KJ

 

 

Sementara itu, Khairy menerusi catatan di laman Facebooknya, mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana melantiknya, sambil menambah beliau teruja untuk menyertai JDT FC, yang merupakan kelab terbesar di Asia Tenggara dan sentiasa beraksi cemerlang setiap musim.

 

“Saya akan lakukan apa sahaja pengalaman yang saya ada untuk membantu TMJ dalam visinya untuk menjadikan JDT FC sebagai kelab bola sepak terkemuka di Asia,” katanya.

 

“Selain itu, saya juga akan membantu merealisasikan hasrat TMJ untuk memperkasakan belia Bangsa Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan memberi perlindungan sewajarnya kepada remaja dan kanak-kanak.”

 

Khairy berkata beliau akan membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan berusaha tanpa henti untuk kecemerlangan berterusan JDT FC dan pemerkasaan belia di Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata pelantikan Khairy adalah tepat berdasarkan pengalamannya ketika berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan dari 2013 hingga 2018.

 

“Saya mengalu-alukan pelantikan Khairy dan berharap dapat bekerjasama dengan beliau bagi memastikan kejayaan agenda pembangunan belia khususnya di Johor dapat dicapai dengan lebih berkesan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

 

“Saya juga berharap Khairy, yang dilengkapi dengan pengalaman dan keupayaannya, dapat memberikan idea baharu dan lebih dinamik kepada belia Johor serta untuk pembangunan bola sepak Johor.”

 

Beliau turut menyeru golongan belia di Johor untuk terus memberikan sokongan bagi membolehkan Khairy menjalankan tugas dan amanah dengan sebaik mungkin.

 

 

KJ

 

 

“Banyak komitmen”

Sementara itu, menjejakkan kaki dalam industri radio telah menjadikan Khairy lebih sibuk dan politik telah menjadi perkara terakhir dalam fikirannya.

 

Bekas ahli UMNO itu, yang baru membuat kemunculan sulung sebagai juruhebah radio di stesen tempatan Hot FM, berkata beliau belum melakarkan langkah seterusnya dalam dunia politik.

 

“Sekarang saya mempunyai banyak komitmen. Selain Hot FM, saya mempunyai komitmen sebagai pensyarah dan penyelidik. Saya dilantik oleh beberapa syarikat untuk menjadi sebahagian daripada lembaga pengarah mereka,” katanya seperti dilaporkan oleh The New Straits Times.

 

“Dan juga peluang untuk bersama Johor Darul Ta’zim (Kelab Bola Sepak JDT) dan semua itu. Jadi sebenarnya, saya mempunyai banyak kerja sekarang dan saya mahu menceburi bidang lain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai politik.” – DagangNews.com