KUALA LUMPUR 20 Sept - Buat pertama kalinya, tentera negara Asean bergabung dalam latihan maritim Eksesais Asean Solidarity in Natuna (ASEX-01 N) 2023 di Batam, Indonesia.
Eksesais yang dianjurkan Tentara Nasional Indonesia (TNI) ini merupakan latihan bersama yang baharu dicadangkan oleh Panglima TNI, Laksamana Yudo Margono sewaktu Asean Chief of Defence Forces Meeting (ACDFM) ke-20 pada 7 Jun lalu di Bali.
Latihan bersama ini berlangsung dari 18 hingga 25 September 2023 dan dilaksanakan di Batam, Perairan Natuna dan Sabang Mawang, Indonesia.
Antara negara yang menghantar aset dalam eksesais ini ialah Singapura dengan penglibatan korvet RSS Vigour, Brunei (KDB Darul Ehsan) dan Malaysia (kapal peronda KD Terengganu).
TNI pula mengerahkan dua kapal perangnya, iaitu KRI dr. Radjiman Wedyodiningrat dan KRI Jhon Lie.
Negara seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam dan Timor Leste bertindak sebagai pemerhati.
Ini merupakan latihan bukan ketenteraan pertama yang melibatkan seluruh angkatan bersenjata dari negara Asean.
Ia memberi fokus dalam memperkasakan aspek latihan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) dan operasi keselamatan maritim.
KD Terengganu telah diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kdr Hafiez Azrie Md Noor bersama 10 pegawai dan 70 kru.
Eksesais ini merupakan peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama pegawai dan anggota KD Terengganu dalam memperkasakan aspek latihan HADR.
Aspek lain ialah dalam kerjasama awam dan tentera, operasi mencari dan menyelamat, serta keselamatan maritim yang merupakan konsep utama pelaksanaan eksesais ini.
Pada masa yang sama, pelaksanaan eksesais ini dapat meningkatkan hubungan ketenteraan antara negara-negara ASEAN di samping menggalakkan penglibatan dan kesepaduan dengan objektif yang digariskan.
Ini juga untuk mempraktikkan prosedur operasi standard antara tentera negara ASEAN, membina kerjasama dan kebolehoperasian dalam bidang keselamatan maritim dan pengurusan bencana.
Terdahulu, majlis perasmian Eksesais Asean Solidarity in Natuna (ASEX-01 N) Panglima TNI, Laksamana TNI Yudo Margono dan turut dihadiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bAb Rahman. - DagangNews.com