KUALA LUMPUR 9 Okt - 3REN Bhd, penyedia perkhidmatan rumusan automasi dan kejuruteraan, menyasarkan untuk mengumpul RM30.8 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 November 2024.
Kumpulan akan mengumpul dana itu menerusi terbitan 110 juta saham baharu pada harga 28 sen sesaham.
Katanya, sejumlah 62.3% daripada hasil IPO diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan dan keperluan operasinya.
Daripada jumlah itu, 23.4% akan digunakan untuk menubuhkan pusat penghantaran baharu di Pulau Pinang yang direka bentuk untuk melaksanakan perkhidmatan kejuruteraan produk khusus yang berkaitan dengan reka bentuk dan pembangunan cip semikonduktor.
"Sebanyak 16.6% akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan termasuk penubuhan pusat inovasi bagi menyokong pembangunan rumusan dan peralatan baharu/dipertingkatkan untuk segmen rumusan automasinya.
"9.7% lagi akan disalurkan ke arah penubuhan pejabat jualan di Singapura bagi meningkatkan kehadiran geografinya dan 12.7% adalah untuk modal kerja, terutamanya menambah bilangan jurutera dan tenaga kerja mahir yang lain.
"Baki hasil IPO akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman dan penyenaraian perbelanjaan berkaitan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bahagian terbitan awam IPO disediakan untuk langganan mulai hari ini dan permohonan akan ditutup pada pukul 5 petang Rabu, 23 Oktober 2024.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif 3REN, Koh Dim Kuan berkata, pihaknya melihat potensi besar untuk perkembangan kerana industri semikonduktor global bersedia untuk terus berkembang dengan baik ke dekad akan datang, dipacu oleh teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi 5G.
Beliau berkata, rangsangan pertumbuhan itu disokong oleh pemodenan dan transformasi kemudahan pembuatan ke arah teknologi Industri 4.0 dan 5.0.
"Ini membolehkan kilang pintar dan operasi mampan di samping peningkatan penyumberan luar dan penempatan semula aktiviti pembuatan ke Asia Tenggara yang meletakkan kami dengan baik dalam menangkap peluang unik ini," katanya.
3REN mempunyai pendedahan global di luar Malaysia dengan kehadiran di negara-negara seperti Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, China, Vietnam, Filipina, Kanada, Costa Rica, India, Mexico dan Taiwan.
KAF Investment Berhad merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com