AHB umum agihan pendapatan 5.00 sen bagi tahun 2024 | DagangNews Skip to main content

AHB umum agihan pendapatan 5.00 sen bagi tahun 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

SHAH ALAM 9 Okt - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan PHB Asset Management Berhad (PHBAM) hari ini mengumumkan agihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2024. 

 

Jumlah tersebut hasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.25 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. 

 

Jumlah bonus yang diberikan itu sumbangan daripada PHB, penaja dana AHB dan pengagihan terhad kepada 1,000,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

 

Pada April 2024, PHB dan Maybank Asset Management Berhad (MAM) yang merupakan pengurus aset AHB ketika itu mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.20 sen seunit dan bonus pengagihan bernilai 0.30 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2024. 

 

Ini membawa agihan keseluruhan bernilai 5.00 sen bersamaan 5.00% setahun dengan nilai keseluruhan agihan pembayaran bernilai RM232 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2024.

 

AHB akan mengagihkan sejumlah RM121 juta kepada kira-kira 83,000 pemegang unit bagi pengagihan pendapatan kali ini. 

 

Pendapatan pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi juga telah dizakatkan. 

 

Bagi tempoh tersebut, pendapatan dana akan diagihkan dalam bentuk wang tunai di mana wang tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank pemegang unit pada 14 Oktober 2024.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit, menyatakan keyakinannya mengenai tanggungjawab baharu PHB Asset Management  Berhad (PHBAM) sebagai pengurus dana baharu AHB berkuat kuasa 1 Julai 2024.

 

"Peralihan ke PHBAM sebagai pengurus dana memudahkan penyelarasan pengurusan dana selaras dengan visi PHB sebagai penaja. Peralihan ini menghasilkan sinergi untuk mewujudkan pendekatan yang lebih teratur dan bersepadu dalam menguruskan dana AHB.  

 

"Kami juga dapat meningkatkan perkhidmatan kepada pemegang unit serta memperluaskan capaian kami bagi membolehkan lebih ramai pelabur Bumiputera mengambil bahagian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Mohamad Damshal, peralihan itu membolehkan PHB memperkukuh komitmen untuk memperkasa ekonomi Bumiputera, sambil meneroka amalan lestari yang menyokong pertumbuhan kewangan dan kesejahteraan alam sekitar serta jangka panjang sosial.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM, Zulkifli Ishak berkata, integrasi AHB ke dalam PHBAM adalah pencapaian penting dalam misi untuk menyediakan penyelesaian pelaburan patuh syariah. 

 

"Kami kini aktif menerokai peluang dengan beberapa rakan strategik untuk memperkenalkan produk wakaf dan perancangan legasi yang inovatif untuk melindungi kepentingan pemegang unit Bumiputera kami," ujarnya.

 

Penyelesaian kewangan itu katanya, direka bukan sekadar untuk pertumbuhan kewangan malah untuk memberi impak yang berpanjangan kepada pelanggan yang akan memanfaatkan keluarga dan komuniti yang lebih luas untuk generasi akan datang.

 

AHB boleh dilanggan oleh pelabur Bumiputera pada harga RM1.00 setiap unit di semua pengedar sah di seluruh Malaysia. 

 

Ia ditubuhkan untuk memberi peluang kepada pelabur Bumiputera untuk menyertai pemilikan hartanah komersial utama melalui pemegangan unit dalam AHB dengan pendapatan yang tetap dan konsisten. 


 
Dengan pelaburan minimum sebanyak RM100 dan maksimum RM1 juta, langganan boleh dibuat di cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamik dan Bank Islam di seluruh negara. - DagangNews.com