KUALA LUMPUR 23 Sept - Penyepaduan perniagaan dengan penerbangan jarak dekat Capital A Bhd akan meletakkan AirAsia X (AAX) sebagai peneraju pasaran Asia Pasifik bagi syarikat penerbangan tambang murah kerana ia mempunyai jejak yang kukuh di rantau ini.
RHB Investment Bank berkata, dengan menggabungkan jenama AirAsia dalam AAX, rangkaian laluan penerbangannya akan berkembang meliputi lebih 140 destinasi merentasi 22 buah negara, dengan keupayaan untuk membawa sekitar 60 juta orang penumpang.
"Apabila rangkaian penerbangan jarak jauh dan dekat disepadukan, AAX dapat memanfaatkan perkhidmatan penerbangan sambungan melalui program Fly-Thru yang menyambungkan laluan jarak dekat dengan jarak jauh.
"Kesalinghubungan yang lebih tinggi ini memberikan fleksibiliti buat pengembara jarak jauh, sekali gus dapat mengukuhkan jejak AAX di benua Asia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Capital A hari ini memaklumkan akan mengadakan mesyuarat agung luar biasanya (EGM) pada 14 Oktober 2024 bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk pelupusan perniagan penerbangannya kepada AirAsia X (AAX).
Pengendali syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia itu berkata, langkah utama berkenaan adalah sebahagian usaha strategiknya untuk memperkemaskan dan memacu pertumbuhan jangka panjang perniagaan penerbangan dan bukan penerbangannya
ARTIKEL BERKAITAN: Capital A serahkan surat pekeliling EGM kepada Bursa Malaysia, perincikan pelupusan RM6.8 bilion kepada AirAsia X
Sementara itu, kata RHB Investment, langkah pengambilalihan ini akan memberikan AAX akses serta-merta kepada buku pesanan Airbus Capital A yang besar, dengan 362 buah pesawat A321neo dijadualkan akan dihantar dalam 10 tahun seterusnya.
Menurut firma penyelidikan tersebut, sepanjang lima tahun akan datang, 73 pesawat akan dihantar dan pesawat ini dibiayai menerusi perjanjian jualan dan sewaan semula.

"AAX dapat memanfaatkan kelenturan buku pesanan ini dengan menukar pesanan A321neo kepada varian lain seperti A321LR, A321XLR, atau A330neo. Kepelbagaian barisan pesawat membolehkan AAX menggunakan pesawat dan kapasiti terbaik yang sepadan dengan permintaan.
"Hal ini juga membuka ruang untuk ia menerokai laluan baharu, dengan menggunakan pesawat berbadan sempit pada awalnya, kemudian beralih kepada pesawat berbadan besar apabila pasaran itu berkembang.
"Langkah ini dapat dilaksanakan dengan menggunakan pesawat A321XLR, sejenis model varian A321neo yang mampu terbang sejauh 4,510 batu nautika, iaitu lingkungan jarak yang mencukupi untuk sampai ke lebih banyak destinasi di rantau Asia yang berada di luar capaian pesawat-pesawat lebih lama," jelasnya.
Tambah RHB Investment, pesawat A321neo akan menggantikan pesawat berbadan sempit A320 dan sesetengah pesawat berbadan lebar AAX A330 sekarang secara berperingkat.
Melalui langkah ini, katanya syarikat penerbangan ini dapat memanfaatkan pembelian bahagian ganti secara pukal dan kos selenggaraan lebih murah, atas faktor jenis pesawat yang sama.
"Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangka pasaran pengangkutan udara dunia akan berkembang 10.4% tahun ini, dan rantau AsiaPasifik akan mencatat pertumbuhan bilangan penumpang 17.2% YoY pada 2024 (2025F: +12.1% YoY, 2026F: +8.1% YoY).
"Hal ini menawarkan peluang besar memandangkan penyepaduan perniagaan penerbangan jarak dekat Capital A akan meletakkan AAX sebagai peneraju pasaran Asia Pasifik dalam kalangan syarikat penerbangan tambang murah, kerana ia mempunyai jejak yang kukuh di rantau ini," katanya yang memberikan lingkungan nilai berpatutan (FV) AAX antara RM1.90-RM2.25 sesaham. - DagangNews.com








