SEPANG 16 Okt - AirAsia X (AAX) hari ini menyambung semula perkhidmatannya ke bandar pergunungan China, Chongqing dengan pelancaran empat penerbangan mingguan bermula hari ini.
Chongqing bukan sahaja terkenal dengan hidangan tempatan yang menyelerakan seperti sup pedas, malah merupakan bandar raya terbesar dengan hampir 32 juta penduduk.
Pelepasan penerbangan pertama D7 808, turut dihadiri oleh Pengerusi AirAsia X, Dato’ Fam Lee Ee dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X, Benyamin Ismail.
Penerbangan itu berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 7.35 malam (15 Oktober 2024) dengan kapasiti penumpang hampir 90 peratus dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei Chongqing pada jam 12.45 pagi pada hari Rabu.
Destinasi itu kini menjadi pilihan utama bagi pengembara solo dan pasangan yang inginkan percutian dengan pengalaman budaya unik.
Chongqing menawarkan gabungan bandar moden dan warisan sejarah, seterusnya menjadikan ia destinasi pilihan ramai.
Ketibaan pesawat AAX itu disambut oleh Tourism Malaysia pada pagi ini.
Para tetamu dalam penerbangan D7 809 turut diraikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Tourism Malaysia, Nor Hayati Zainuddin bersama AirAsia Allstars.
Syarikat penerbangan itu sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China.
Kini, Kumpulan AirAsia mengendalikan penerbangan ke sejumlah 19 destinasi di China dengan lebih daripada 60 laluan dua hala. - DagangNews.com