KUALA LUMPUR 11 Nov - Alliance Bank Malaysia Bhd dijangka menyaksikan keputusan kewangan yang baik pada suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY25), berikutan pertumbuhan pinjaman teguh dan margin faedah bersih (NIM) stabil, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu menaikkan saranan kepada 'beli' daripada 'pegang', dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM5.30.
Katanya, kos kredit berkemungkinan kekal tinggi kerana masih terdapat sedikit tekanan terhadap kualiti aset.
"Kami mengekalkan unjuran keuntungan bersih FY25, tetapi menaikkan unjurannya sebanyak 2% bagi FY26 dan 1% untuk FY27 atas andaian kos kredit yang lebih rendah.
"Kami juga menaikkan TP Alliance Bank kepada RM5.30 daripada RM4.60 sesaham pada 2025.
"Kenaikan TP itu berdasarkan nilai harga-ke-buku yang lebih tinggi sebanyak satu kali, disokong oleh pulangan ekuiti 2025 sebanyak 10%," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Maybank IB berkata, pertumbuhan pinjaman Alliance terus teguh dengan pengurusan menyasarkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 8% hingga 10% pada FY25.
"Sejajar dengan itu, kami menaikkan unjuran pertumbuhan pinjaman FY25 kami kepada 9% daripada 8%.
"Sementara itu, NIM berkemungkinan stabil bagi suku ke suku (QOQ) pada 3QCY24, walaupun kami menjangkakan tekanan baharu pada suku keempat 2024akibat persaingan deposit bermusim," katanya.
Di samping itu, firma tersebut mengunjurkan NIM FY2025 bank itu sebanyak 2.43% dalam panduan pengurusan sebanyak 2.40% hingga 2.45%.
Sementara itu, Maybank IB berkata, masih terdapat sedikit tekanan terhadap kualiti aset, terutamanya daripada Akaun Alliance ONE.
"Tekanan terhadap Akaun Alliance ONE mengekalkan andaian kos kredit yang meningkat sebanyak 35 mata asas bagi FY25 (32 mata asas pada 1QFY25).
"Namun begitu, dengan tindanan pengurusan bernilai RM121 juta, kami telah menurunkan jangkaan kos kredit FY26 kami kepada 30 mata asas daripada 33 mata asas," katanya.- DagangNews.com