Alliance Bank umum pelantikan Tan Sri Amirsham Aziz sebagai pengerusi baharu | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank umum pelantikan Tan Sri Amirsham Aziz sebagai pengerusi baharu

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 11 Okt – Alliance Bank Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Tan Sri Amirsham Abdul Aziz sebagai Pengerusi baharunya berkuat kuasa 10 Oktober 2024.

 

Amirsham membawa bersamanya pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan, telah berada dalam Kumpulan Maybank selama 31 tahun memegang pelbagai jawatan kanan termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank selama 14 tahun.

 

Beliau merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perangkaan dari 18 Mac 2008 hingga 9 April 2009. Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MTEN) dari 1 Jun 2009 hingga 31 Mei 2011 .

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan merupakan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

 

 Amirsham pernah menjadi Pengerusi Bursa Malaysia Berhad dan ahli Lembaga Pengarah CapitaLand Limited, Singapura; Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan RAM Holdings Berhad.

 

Pada masa ini, beliau ialah Pengerusi Sunway REIT Management Sdn Bhd (Pengurus Sunway Real Estate Investment Trust, sebuah amanah pelaburan hartanah yang disenaraikan di Bursa Malaysia) dan menganggotai Lembaga Pengarah Hap Seng Plantations Holdings Berhad.

 

 

Alliance Bank

 

 

“Pelantikan ini merupakan petanda baik untuk masa depan Alliance Bank dan kami berharap beliau mengetuai Lembaga Pengarah dan Pengurusan untuk meningkatkan tahap baharu bagi Kumpulan Perbankan kami. Dengan kepimpinan dan kepakaran beliau yang terbukti, kami yakin Bank akan mencapai pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan.” kata Ernest Wong Yuen Weng, Timbalan Pengerusi Alliance Bank.

 

Di bawah kendalian Pengerusi baharu bersama-sama bimbingan Lembaga Pengarah dan Pasukan Kepimpinan Kanan, Alliance Bank akan meneruskan laluan pertumbuhan Acceler8 2027 ke arah menjadi "Bank Sepanjang Hayat" untuk pemegang kepentingannya. - DagangNews.com