Allianz Life perkenal kempen perlindungan tambahan penyakit kritikal percuma, pelanggan boleh nikmati tuntutan berulang | DagangNews Skip to main content

Allianz Life perkenal kempen perlindungan tambahan penyakit kritikal percuma, pelanggan boleh nikmati tuntutan berulang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Okt - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) memperkenalkan kempen perlindungan untuk Pelbagai Tuntutan Penyakit Kritikal (CI) Percuma, yang menyediakan pelanggan dengan jaringan keselamatan penting bukan sahaja untuk diagnosis CI pertama mereka, tetapi juga untuk diagnosis masa depan.

 

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, diagnosis satu penyakit kritikal boleh menjadi peristiwa yang mengubah hidup mereka, apa lagi kemungkinan menghadapi pelbagai diagnosis sepanjang hayat. 

 

Sebagai syarikat insurans, Allianz Life memahami ketidakpastian dan beban emosi yang datang dengan pengalaman sedemikian.

 

Untuk membantu meringankan beban tersebut, syarikat kini menawarkan perlindungan yang melangkaui hanya satu tuntutan penyakit kritikal, memastikan pelanggan kekal dilindungi apabila mereka amat memerlukannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Life, Charles Ong berkata, pihaknya sedar satu diagnosis penyakit adalah permulaan perjalanan yang panjang bagi pesakit dan keluarga yang mengalaminya.

 

"Perlindungan Percuma untuk Pelbagai Tuntutan CI kami membolehkan pelanggan memberi tumpuan kepada pemulihan tanpa bimbang tentang kehilangan jaringan keselamatan kewangan selepas tuntutan pertama mereka. 

 

"Kami percaya dalam melindungi pelanggan kami bukan hanya sekali, tetapi sepanjang perjalanan hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tidak seperti rider CI konvensional yang menghentikan perlindungan selepas tuntutan penuh dibuat, perlindungan percuma Allianz Life memastikan pelanggan dilindungi daripada diagnosis sakit berikutnya, memberikan ketenangan fikiran yang sebenar untuk mereka dan keluarga.

 

Perlindungan yang dipertingkatkan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menyampaikan penyelesaian insurans inovatif yang mengutamakan kesejahteraan jangka panjang pelanggan.

 

Manfaat-manfaat di bawah kempen Perlindungan Percuma untuk Pelbagai Tuntutan CI termasuk perlindungan untuk pelbagai diagnosis iaitu pelanggan boleh terus menerima sokongan kewangan untuk diagnosis penyakit kritikal baharu, walaupun selepas pembayaran penuh telah dibuat untuk rider penyakit kritikal mereka.

 

Selain itu, pelanggan juga boleh menerima sehingga 320% jumlah perlindungan apabila membeli Allianz UltimateLink dengan rider CI seperti Prime Care+ atau HealthCover Plus, malah pelan baharu terbabit juga membenarkan pelanggan membuat tuntutan beberapa kali sehingga polisi matang.

 

Untuk layak mendapat manfaat-manfaat tersebut, pelanggan boleh membeli Allianz UltimateLink dengan rider CI, Prime Care+ atau HealthCover Plus dari sekarang hingga 30 November 2024. - DagangNews.com