KUALA LUMPUR 26 Mac - Pendapatan Astro Malaysia Holdings Berhad dipercayai akan terus berdepan tekanan kesan penyusutan langganan TV berbayar dan perbelanjaan iklan akibat inflasi yang lebih tinggi.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kumpulan itu akan terus berdepan cabaran berikutan kemungkinan kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai 2025 dan cadangan rasionalisasi subsisdi RON95 pada pertengahan tahun ini.
"Kami meramalkan prospek Astro kekal mencabar. Kumpulan itu menjangkakan berlaku penurunan dari segi kehilangan langganan tv berbayar tetapi kami kurang yakin terhadap perkara itu.
"Bagi tujuan mengurangkan kehilangan pelanggan, Astro melancarkan pek tv baharu yang dikenali sebagai Astro ONE pada Disember 2024 pada harga yang lebih murah berbanding pakej sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Astro pada 4QFY25 susut lebih 75% kepada RM11 juta kesan penurunan langganan
Terdahulu, hasil bagi suku semasa sebanyak RM766.4 juta merosot sebanyak RM53.5 juta atau 6.5% berbanding 4QFY24 sebanyak RM819.9 juta.
Penurunan itu didorong pengurangan dalam hasil langganan dan hasil pengiklanan.
Hasil daripada televisyen bagi suku semasa sebanyak RM716 juta lebih sebanyak 6.7% berbanding suku yang sama sebanyak RM767.5 juta disebabkan penurunan hasil langganan dan hasil pengiklanan.
Firma penyelidikan itu berkata, harga pakej Astro ONE yang lebih rendah menyebabkan purata pertumbuhan pendapatan setiap pengguna (ARPU) menurun kepada RM98.5 pada 4QFY25 (2QFY25: RM99.8).
Mereka juga menjangkakan ARPU akan terus menurun kepada RM97.4.
Maybank IB berkata, Astro menyatakan pelanggan tv berbayar kasar pada FY25 berkembang sebanyak 52% dan kehilangan pelanggan mengecil kepada 84% hasil sumbangan pakej Astro ONE ditambah kandungan TVB dan Liga Malaysia kepada pelanggan pakej asas.
"Astro berharap dapat mengurangkan kehilangan pelanggan tv berbayar tahun ini dan menjadikan tambahan pelanggan selepas itu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) 11 sen sesaham. - DagangNews.com








