Azam Jaya sasar kumpul RM61.5 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Azam Jaya sasar kumpul RM61.5 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Azam Jaya Bhd, firma pembinaan yang berpangkalan di Sabah, menyasarkan untuk mengumpul RM61.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 November 2024.

 

Kumpulan itu akan mengumpul dana itu menerusi terbitan 78.8 juta saham baharu dan tawaran penjualan 50 juta saham sedia ada pada harga 78 sen sesaham.

 

Syarikat itu memperuntukkan 10 juta saham untuk orang yang layak, 25 juta saham kepada orang ramai Malaysia dan 43.8 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

Dari segi dasar dividen, Azam Jaya menyasarkan untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersihnya kepada pemegang saham.

 

"Daripada hasil IPO sebanyak RM61.5 juta, kumpulan itu memperuntukkan RM8 juta (13%) bagi meningkatkan keupayaan pembinaan dan kecekapan operasi dengan memperoleh jentera dan peralatan baharu serta peningkatan teknologi.

 

"Pada masa sama, sejumlah RM28.4 juta (46.2%) diperuntukkan untuk tujuan modal kerja, RM20 juta (32.5%) diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, dan RM5.1 juta (8.2%) akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bahagian terbitan awam IPO disediakan untuk langganan mulai hari ini dan permohonan akan ditutup pada pukul 5 petang Rabu, 24 Oktober 2024.

 

Pengarah Eksekutif Azam Jaya, Datuk Lo Vun Che @ Jessica berkata, pada masa ini, pihaknya terlibat dengan sembilan projek, termasuk empat pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo, menjadikan jumlah nilai kontrak belum dibilkan kepada RM1.45 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2028.

 

"IPO ini merupakan langkah penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang, membolehkan kami meningkatkan keupayaan pembinaan dan kapasiti bagi melaksanakan lebih banyak projek berskala besar.

 

"Kami berhasrat meningkatkan lagi standard pembinaan di Sabah, memperkenalkan teknik inovatif dan kejuruteraan berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini," katanya.

 

Inter-Pacific Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com