Bank Islam menerusi Sadaqa House bantu kanak-kanak terpinggir, rasmi Restoran Sup Kawah Hitam | DagangNews Skip to main content

Bank Islam menerusi Sadaqa House bantu kanak-kanak terpinggir, rasmi Restoran Sup Kawah Hitam

Dari kiri Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik; Pengarah Broku Sdn Bhd, Ku Addy Fazly Ku Radin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato' Mohd Muazzam Mohamed; dan Pengarah Eksekutif Buku Jalanan Chow Kit, Ustaz Amin Khalili Zolkepley pada majlis perasmian Restoran Sup Kawah Hitam Beratur di Jalan Chow Kit, semalam.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Okt - Dalam usaha memperkukuh pendidikan untuk anak-anak terpinggir, pemacu kewangan sosial Bank Islam Malaysia (Bank Islam), Sadaqa House Bank Islam (Sadaqa House), yang diiktiraf di peringkat global berbesar hati menyokong pembangunan Restoran Sup Kawah Hitam kelolaan organisasi bukan kerajaan, Buku Jalanan Chow Kit (BJCK).

 

Inisiatif yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100 anak-anak, kakitangan dan komuniti setempat itu bertujuan untuk menjadikan restoran tersebut sebagai sumber pendapatan berterusan bagi BJCK yang komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak terpinggir di kawasan Chow Kit.

 

Sejak dilantik sebagai rakan pelaksana Sadaqa House pada tahun 2019, BJCK telah menerima dana sosial berjumlah melebihi RM600,000 menerusi Sadaqa House yang mengumpulkan sumbangan individu dan organisasi prihatin. 

 

Dana tersebut telah dimanfaatkan bagi pengoperasian kemudahan dan pusat pendidikan BJCK demi kebajikan lebih 100 kanak-kanak di kawasan sekitar.

 

Sebagai usaha untuk memastikan pendapatan BJCK berterusan, Sadaqa House mempertingkatkan lagi sokongan yang diberikan dengan membiayai sewa bulanan bangunan berjumlah RM150,000 setahun, di samping dana transformasi restoran BJCK yang melibatkan sejumlah RM40,000. 

 

Sadaqa House dan Broku Sdn Bhd (Broku), telah bekerjasama untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap menu, reka bentuk dan suasana persekitaran restoran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, Restoran Sup Kawah Hitam tidak hanya menjadi tempat untuk menjamu selera, tetapi juga memberikan peluang pekerjaan yang diperlukan komuniti setempat.

 

"Usaha ini mencerminkan komitmen Sadaqa House untuk memperkasakan masyarakat demi masa depan yang lebih baik.

 

"Paling utama, pelancaran restoran ini diharapkan dapat memberikan pendapatan berterusan kepada BJCK bagi memastikan pusat pembelajaran mereka terus beroperasi dan memberikan manfaat kepada anak-anak terpinggir di kawasan sekitar,"katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, Bank Islam katanya, berterima kasih kepada penyumbang dan semua yang menyokong agenda murni Sadaqa House kerana dapat mencipta perubahan yang bermakna bersama-sama.

 

Ditubuhkan pada tahun 2015, BJCK memastikan integrasi dan pendidikan berkualiti bagi kanak-kanak di sekitar Chow Kit dengan tujuan mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. 

 

Antara program anjuran BJCK termasuk program homeschool yang khusus bagi kanak-kanak terpinggir yang tidak layak memasuki sekolah kerajaan, kelas malam hujung minggu untuk anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan, Kelab Bola BJCK dan #KolektifAnakChowKit yang mengasah daya kreativiti mereka.

 

Orang ramai yang ingin menyumbang demi kesejahteraan masyarakat terpinggir, rentan dan B40, boleh menyalurkan sumbangan mereka ke Sadaqa House di nombor akaun 140 140 101 88888 (Bank Islam) atau melayari laman sesawang https://www.bankislam.com/corporate-info/social-finance-bank-islam/ untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com