Belanjawan 2025 sasar pertumbuhan ekonomi, tingkatkan taraf hidup - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025 sasar pertumbuhan ekonomi, tingkatkan taraf hidup - penganalisis

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2025 menyasarkan untuk membentuk semula ekonomi dengan memupuk pertumbuhan dan menarik pelaburan berkualiti sambal mengimbangi penyatuan fiskal untuk pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggap, Belanjawan 2025 sebagai 'neutral' tanpa sebarang kejutan negatif yang ketara dijangkakan untuk ekuiti.

 

"Kami tidak membuat perubahan pada sasaran KLCI akhir tahun 2024 kami sebanyak 1,720, berdasarkan penilaian purata.

 

"Kami juga mengekalkan sasaran awal KLCI akhir tahun 2025 kami sebanyak 1,840, sambil kami berusaha untuk mengukuhkan sasaran ini berikutan laporan keputusan suku ketiga 2024 pada akhir November," katanya dalam satu nota kajian, hari ini, lapor Bernama.

 

Maybank IB juga tidak membuat sebarang pelarasan terhadap penarafan sektornya dan mengekalkan pendirian 'overweight' ke atas sektor perbankan, pembinaan, barangan pengguna, minyak dan gas, amanah pelaburan hartanah (REIT), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perisian teknologi serta perkhidmatan pembuatan elektronik.

 

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) percaya walaupun Belanjawan 2025 kelihatan positif, ia mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal dan perbelanjaan pembangunan yang stabil.

 

Firma penelidikan itu berkata, sektor pembinaan seharusnya mendapat manfaat daripada gabungan projek mega dan lebih kecil dalam perancangan untuk memastikan kontraktor terlibat. 

 

Bagaimanapun, ia percaya, pelancaran projek yang lebih besar - seperti tebatan banjir dan jalan kereta api - akan bergantung pada pengaturan pembiayaan yang masih belum dimuktamadkan, terutamanya berkaitan perkongsian awam-swasta.

 

Kenaikan yang dijangkakan dalam gaji minimum, walaupun sebahagian besarnya dijangka, berkemungkinan memberi kesan buruk kepada sektor perladangan.

 

"Kami mengesyorkan pengumpulan dalam pasaran berikutan kelemahan. Sasaran FBM KLCI akhir tahun kami kekal pada 1,750 mata, berdasarkan pulangan purata jangka panjang kepada 16 kali pendapatan tahun kalendar 2024," katanya.

 

Sementara itu, RHB Investment menjangkakan, cadangan Belanjawan 2025 secara umumnya neutral untuk pasaran.

 

“Tema pelaburan utama termasuk strategi defensif jangka pendek, kekal tangkas untuk membina kedudukan pada kelemahan pasaran yang luas, memberi fokus secara taktikal kepada dan memberi tumpuan kepada saham berkaitan Johor serta syarikat dengan modal sederhana," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sector perbankan, hartanah, M-REIT, pembinaan, teknologi, penjagaan kesihatan, bahan asas, minyak dan gas, utiliti dan produk getah.

 

Risiko utama kepada prospek ini termasuk perkembangan geopolitik negatif, peningkatan risiko inflasi yang boleh mendorong Rizab Persekutuan AS (Fed) menilai semula dasar monetarinya, dan peningkatan konflik perdagangan AS-China.- DagangNews.com