BIMB Securities positif terhadap usaha Infomina kembangkan jejak perniagaannya ke Asia Utara | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities positif terhadap usaha Infomina kembangkan jejak perniagaannya ke Asia Utara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - BIMB Securities positif terhadap usaha firma perkhidmatan teknologi maklumat (IT), Infomina Bhd bagi mengembangkan jejaknya di Asia Utara termasuk Jepun, pada masa yang sama mengukuhkan kehadirannya di pasaran serantau seperti Thailand dan Filipina.

 

Dengan memanfaatkan kekuatan kumpulan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), firma penyelidikan itu percaya Infomina berada pada kedudukan baik untuk mendapatkan projek sedia guna (turnkey) dan projek pembaharuan.

 

Infomina kekal yakin dengan pelaburan strategiknya dalam penyelidikan, pembangunan dan teknologi.

 

"Mengutamakan inovasi, kumpulan itu berusaha untuk menarik pelanggan baharu, memacu pertumbuhan perniagaan, dan meningkatkan kehadiran jenamanya di peringkat tempatan dan global.

 

"Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan peningkatan penggunaan Pengaturcaraan Aplikasi Antara Muka (API) dijangka mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam rantaian bekalan IT," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Infomina pada 1QFY25 melonjak 10.25% didorong margin lebih tinggi

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 1QFY25 melonjak kepada RM8.01 juta daripada RM7.27juta, manakala hasil susut 17.84% tahun ke tahun (YoY) kepada RM46.18 juta daripada RM56.21 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil yang lebih rendah daripada jangkaan adalah disebabkan oleh kontrak yang lebih rendah daripada segmen turnkey.

 

Katanya, hasil 1QFY25 dan keuntungan kasar masing-masing merosot sebanyak 21.1% dan 10.6% disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen turnkey walaupun terdapat peningkatan dalam segmen pembaharuan.

 

"Kami menyemak turun pendapatan FY25-FY27 kumpulan masing-masing sebanyak 3.7% kepada RM42-58 juta, selepas mengambil kira hasil yang lebih rendah daripada kedua-dua segmen.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.63 sesaham," katanya.- DagangNews.com