PETALING JAYA 4 Okt - Lebih 100 bakat muda berusia antara lima hingga 17 tahun, menyertai pertandingan Little Architects Drawing + Design Competition 2024 di Royale Chulan Damansara baru-baru ini, yang diadakan buat tahunan keempat.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Boustead Properties Berhad (Boustead Properties) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dengan sokongan daripada Royale Chulan Hotels and Resorts dan the Curve.
Ia mencabar peserta untuk mereka bentuk ruang-ruang kecil dalam konteks kawasan perbandaran Mutiara Damansara dengan tema Placemaking.
Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada program Reinvigoration of Mutiara Damansara oleh Boustead Properties, satu inisiatif menyeluruh yang bertujuan untuk meningkatkan keceriaan dan kelestarian persekitaran komuniti.
Ia sejajar dengan agenda lestari Boustead Properties, yang berteraskan Jangkauan Komuniti dan Kesejahteraan.
Para peserta dicabar untuk mencipta semula ruang-ruang utama seperti Taman Rekreasi Mutiara Damansara dan Pusat Beli-belah the Curve, dengan mereka bentuk kawasan yang memupuk rasa kepunyaan dan memberi impak positif kepada ruang awam.
Ketua Pegawai Strategi Kreatif, Boustead Properties, Muhd Taufiq Jaapar berkata, kreativiti dan semangat yang ditunjukkan oleh peserta sangat memberi inspirasi.
"Reka bentuk mereka menunjukkan masa depan ruang-ruang kita boleh menjadi lebih inklusif, inovatif dan lestari jika kita memberi generasi muda platform untuk mencipta semula dan bermimpi besar. Ia juga merupakan peluang bagi kita untuk belajar daripada mereka dan bekerjasama dalam membentuk masa depan bersama," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden PAM, Profesor Adjung Ar. Adrianta Aziz turut menekankan kepentingan pertandingan itu yang menonjolkan potensi suara muda dalam membentuk ruang bandar.
"Reka bentuk mereka bukan sahaja menunjukkan kreativiti, tetapi juga pemahaman mendalam tentang bagaimana ruang boleh menyatukan orang ramai dan memberi manfaat kepada generasi akan dating," jelas beliau.
Acara itu juga menampilkan sesi interaktif seperti ceramah bertajuk Menguruskan Anak-anak Era AI oleh Adrianta dan program Little Chefs by Big Chef yang dikendalikan oleh Chef K. Nathan dari Royale Chulan Damansara.
Pertandingan berakhir dengan majlis penyampaian hadiah, di mana para pemenang menerima ganjaran menarik termasuk penginapan eksklusif di Royale Chulan Hotels and Resorts.
Acara tersebut mencerminkan komitmen Boustead Properties dalam memupuk generasi profesional kreatif dan mempromosikan pembangunan komuniti serta memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar. - DagangNews.com