CADB lantik 23 pengedar di seluruh negara bagi kenderaan elektrik Dongfeng Box yang bakal dilancar pada suku keempat 2024 | DagangNews Skip to main content

CADB lantik 23 pengedar di seluruh negara bagi kenderaan elektrik Dongfeng Box yang bakal dilancar pada suku keempat 2024

CADB dan PEKEMA mengumumkan pelantikan 23 pengedar sah di seluruh negara menjelang pelancaran kenderaan elektrik Dongfeng Box pada suku keempat tahun ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

CYBERJAYA 4 Okt - Central Auto Distributors Bhd (CADB) bersama anak syarikat milik penuh Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mengumumkan pelantikan 23 pengedar sah pertama di seluruh negara bagi kenderaan elektrik Dongfeng Box yang akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

 

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pelantikan 23 pengedar pertama di seluruh negara itu menandakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menggerakkan industri automotif Malaysia ke arah perkembangan EV. 

 

Pengarah Operasi CADB, Datuk SM Zulkifli SM Amin pula menyatakan, kejayaan penyelesaian fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelantikan pengedar-pengedar itu menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada kenderaan elektrik yang berkualiti dan boleh dipercayai. 

 

"Kerjasama kami dengan Dongfeng Motor membolehkan kami menyesuaikan Dongfeng Box untuk memenuhi keadaan pemanduan unik di Malaysia, dan kami yakin ia akan mengubah landskap sektor EV," katanya dalam satu kenyataan.

 

Seiring dengan usaha Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau, Dongfeng Box bakal menonjol sebagai daya tarikan dalam segmen EV, dengan rupa bentuk dan warna yang menawan serta menawarkan jarak perjalanan mengagumkan sejauh 430 kilometer dengan sekali cas.

 

Kenderaan ringan sepenuhnya elektrik itu dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terkini termasuk Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dengan bantuan pengawalan lorong, kawalan pelayaran adaptif dan amaran perlanggaran serta sistem parkir automatik, menjadikannya pilihan ideal untuk pengangkutan di bandar.

 

CADB turut mengumumkan pembukaan Experience Centre pertamanya di Wisma Yayasan PEKEMA, Cyberjaya, serta flagship store di Kota Damansara. 

 

Pusat-pusat itu memberikan peluang kepada pelanggan dan pihak berkepentingan untuk merasai sendiri pengalaman dengan Dongfeng Box. 

 

Kedua-dua lokasi tersebut berfungsi sebagai pusat pendidikan, latihan dan penglibatan, sekali gus mengukuhkan komitmen CADB untuk meningkatkan pengalaman kenderaan elektrik di Malaysia.

 

Dalam usaha CADB untuk menyediakan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang disesuaikan dengan keperluan tempatan, sebanyak tiga unit Dongfeng Box baru-baru ini menyelesaikan fasa akhir R&D dengan menjalankan ujian jalan raya secara menyeluruh oleh pasukan jurutera dari Dongfeng Motor. 

 

Ujian itu meliputi pelbagai jenis permukaan jalan, keadaan pemanduan dan faktor persekitaran di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan jarak perjalanan sejauh 45,000 kilometer bermula Julai hingga September 2024.

 

Ujian yang dijalankan, termasuk Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT) dan Ujian Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), yang bukan sahaja mengesahkan ketahanan Dongfeng Box tetapi juga memperkenalkan penambahbaikan dalam navigasi, ciri-ciri keselamatan dan Digital Head Unit (DHU) untuk memenuhi keperluan dan kehendak pemandu Malaysia. 

 

Fasa akhir R&D itu memastikan Dongfeng Box siap untuk jalan raya Malaysia, memenuhi keperluan harian dengan kecekapan, keselamatan dan keselesaan. - DagangNews.com