KUALA LUMPUR 14 Feb - CelcomDigi Bhd dijangka terus bergelut akibat kekurangan pemangkin untuk memacu pertumbuhan, berdasarkan prestasi suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) tidak memberangsangkan dengan hanya segmen pascabayar dan segmen perusahaan menunjukkan peningkatan.
MIDF Research mengekalkan saranan “neutral”, dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM3.68 daripada RM3.53.
Katanya, usaha kumpulan pada suku tersebut hanya menjana keuntungan kecil manakala, kos barangan dan perkhidmatan, bersama-sama dengan perbelanjaan operasi (opex), terus meningkat.
“Di samping itu, perbelanjaan susut nilai dan pelunasan kekal tinggi selepas penggabungan, seterusnya memberi tekanan ke atas keuntungan.
“Kami menjangkakan CelcomDigi akan menghadapi cabaran untuk mengembangkan hasilnya pada masa terdekat jika tiada pemangkin yang jelas bagi memacu prospek kumpulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
MIDF berkata, hasil dividen menarik kumpulan itu sekitar 5%, mungkin menarik minat pelabur menumpukan pendapatan CelcomDigi pada masa terdekat.
Semalam, CelcomDigi Bhd mengumumkan untung bersihnya menjunam 63.9% kepada RM157 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) berbanding RM435 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan rosot nilai selepas penggabungan dan pelarasan kewangan.
ARTIKEL BERKAITAN:Untung bersih CelcomDigi menjunam 63.9% kepada RM157 juta pada 4QFY24 kesan rosot nilai, pelarasan kewangan
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd berkata, walaupun CelcomDigi mengisytiharkan dividen sesaham (DPS) sebanyak 3.7 sen, menjadikan DPS FY24 kepada 14.3 sen, nisbah pembayaran itu melebihi 100%, menandakan potensi kebimbangan kemampanan.
Memandangkan keputusan kewangan ini, firma penyelidikan itu menyemak turun cadangan saham kumpulan daripada beli kepada pegang, dengan menurunkan TP 16% kepada RM3.80.
“Margin syarikat menguncup disebabkan peningkatan kos material pada 4Q24, walaupun hasil perkhidmatan meningkat sebanyak 1.2% QoQ.
“Bagi FY25, pihak pengurusan telah menyediakan ramalan konservatif, menjangkakan pertumbuhan satu digit pada prestasi kewangan akan datang.
“Bagaimanapun, perbelanjaan pelarasan kewangan dijangka kekal tinggi, mengurangkan kemungkinan lantunan keuntungan mendadak pada FY25.
“Walaupun kumpulan menyasar untuk menjimat kos sinergi sebanyak RM800 juta selepas FY27 kekal di landasan, impak kewangan jangka pendek akan terhad.
“Oleh itu, anggaran pendapatan FY25 dan FY26 telah dipotong masing-masing sebanyak 25% dan 28%, mencerminkan cabaran yang ditimbulkan oleh perbelanjaan modal IT yang tinggi dan kos susut nilai yang berterusan,” katanya.
Berdasarkan faktor-faktor ini, Maybank IB memilih Telekom Malaysia (beli, TP: RM7.50) sebagai pilihan utama dalam sektor telekomunikasi Malaysia. - DagangNews.com








