Cyberview nyalakan inovasi kreatif dengan pelancaran CIRc8, pacu sempadan kreatif dan digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

Cyberview nyalakan inovasi kreatif dengan pelancaran CIRc8, pacu sempadan kreatif dan digital Malaysia

Dari kiri, Ketua Pegawai Operasi Cyberview Sdn Bhd, Ahmad Faizul Ramli; Ketua Pelaburan Khas Bahagian Harta Tanah & Perkhidmatan Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC) Kementerian Kewangan, Mohd Hisyamuddin Awang Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd, Kamarul Ariffin Abdul Samad; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Pegawai Eksekutif, TODAK Holdings Sdn Bhd, Khairul Azlan Zainal Ariffin; Ketua Kandungan Showrunner & Pengarah Audio Animonsta Studios Sdn Bhd, Anas A
Oleh Shamsiah Zulkafli

CYBERJAYA 11 Okt - Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) melancarkan Cyberjaya Digital Creative Circuit (CIRc8) 2024 hari ini, satu program yang menggabungkan kreativiti digital dan inovasi teknologi, yang juga platform di mana idea-idea terkini bertemu dengan kreativiti tanpa tandingan, semuanya dalam ekosistem dinamik Cyberjaya.

 

Dengan peranan sebagai pembangun hab teknologi, Cyberview berada dalam kedudukan unik berbanding pemaju lain memandangkan fokus utama syarikat adalah memastikan ekosistem teknologi yang berfungsi bagi manfaat syarikat teknologi dari pelbagai saiz, serta masyarakat secara keseluruhannya, dapat berkembang di Cyberjaya.

 

Sebagai lokasi pelaburan teknologi yang disukai di Malaysia, Cyberjaya telah menyaksikan kemasukan pelaburan pusat data baru-baru ini, memberikan manfaat dan membentuk tulang belakang ekonomi digital di bandar tersebut. 

 

Perkara itu adalah kelebihan tambahan bagi pemain kreatif digital yang terletak di Cyberjaya, memberi kelebihan ketika industri berkembang dan memanfaatkan teknologi terkini, seperti kecerdasan buatan (AI) generatif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) teknologi bernilai tinggi, beliau sedar akan peranan penting syarikat teknologi tempatan dalam membangunkan ekonomi digital Malaysia dalam jangka panjang.

 

"Kami melihat permintaan untuk produk dan perkhidmatan kreatif digital semakin meningkat, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa, sekaligus membuka akses kepada pasaran dan segmen baharu untuk produk dan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kamarul Ariffin juga menyatakan keyakinannya terhadap syarikat dan bakat tempatan, menekankan bahawa sokongan Cyberview terhadap industri adalah komitmen jangka panjang, yang dibuktikan melalui pembentukan kluster teknologi kreatif digital dalam pelan induk Cyberjaya, yang diperkenalkan pada 2019.

 

Jelas beliau, Cyberjaya adalah rumah bagi ramai bakat kreatif digital terkemuka Malaysia, dengan studio animasi seperti Monsta Studios, WAU Animation dan Durioo+ yang telah mendapat pengiktirafan global. 

 

"Cyberview sedang melakukan yang terbaik untuk memupuk syarikat melalui pelbagai sokongan industri seperti platform yang kami perkenalkan hari ini," ujarnya.

 

CIRc8 2024 dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang menyaksikan dua pertukaran dokumen iaitu Memorandum Persefahaman antara Animonsta Studios Sdn Bhd dan Cyberview Sdn Bhd, dan yang kedua, Surat Niat antara TODAK Holdings Sdn Bhd dan Cyberview Sdn Bhd.

 

Kedua-dua kerjasama itu menandakan pengukuhan hubungan antara pihak-pihak yang terlibat, bertujuan memastikan kerjasama yang lebih kukuh dan bermakna untuk memberi manfaat kepada industri kreatif digital.

 

Dengan anggaran lebih 1,500 orang yang hadir terdiri daripada pemain utama dalam industri animasi dan e-sukan, bakat dan masyarakat, pengunjung dihiburkan selama dua hari dengan arked permainan mini, pameran seni maya oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan sesi bertemu peminat oleh watak animasi tempatan yang popular.

 

Aktiviti lain termasuk kemas kini industri dan perbincangan panel bertajuk Masa Depan Kreativiti Digital – Menavigasi Inovasi dan Sentuhan Manusia yang menampilkan panel seperti Ketua Pembangunan Hub Teknologi, Cyberview, Shafinaz Salim; Ketua Pegawai Operasi, RevMedia Group dan Naib Presiden Persatuan Digital Malaysia, Nicholas Sagau; dan Pengarah Future Creative School, ASWARA, Dr. Jazmi Jamal. - DagangNews.com