Cypark Resources diramal catat kerugian bersih RM16 juta pada FY25 kesan kerja-kerja pembetulan segmen sisa kepada tenaga | DagangNews Skip to main content

Cypark Resources diramal catat kerugian bersih RM16 juta pada FY25 kesan kerja-kerja pembetulan segmen sisa kepada tenaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Public Investment Bank (PublicInvest) meramalkan Cypark Resources Bhd mencatatkan kerugian bersih RM16 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25) disebabkan kerja-kerja pembetulan berpanjangan bagi segmen sisa kepada tenaga (STE) kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu juga menurunkan unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 53% dan 25% bagi FY26 serta FY27.

 

Faktor lain yang menyumbang kepada anggaran firma itu ialah penjadualan semula Cypark bagi tarikh operasi komersial (COD) projek solar 2 (LSS2) berskala besar di Danau Tok Uban kepada suku keempat 2024 dan kos pembiayaan yang lebih tinggi selepas COD LSS3.

 

Cypark melaporkan kerugian bersih teras suku tahunan sebanyak RM26.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2024 (1QFY25), disebabkan ketiadaan penutupan aset cukai tertunda sebanyak RM46 juta pada 4QFY24, berikutan lebihan peruntukan semasa FY23.

 

"Secara keseluruhannya, prestasi 1QFY25 gagal mencapai sasaran dan konsensus keuntungan bersih setahun penuh selepas cukai dan anggaran kepentingan minoriti masing-masing sebanyak RM9.7 juta dan RM25.2 juta, dengan perbezaan sebahagian besarnya disebabkan kerja-kerja pembetulan kilang WTE," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidian itu berkata, kerja-kerja pembetulan dan naik taraf WTE Cypark dianggarkan siap menjelang Oktober 2024.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan penyambungan semula operasinya akan dibuat secara berperingkat. 

 

"Cypark telah mengeluarkan belanjawan kira-kira RM7 juta untuk kerja-kerja pembetulan, yang boleh dituntut sepenuhnya di bawah insurans, dan RM2 juta untuk kerja-kerja menaik taraf.

 

"Kumpulan itu juga percaya mereka berhak mendapat tuntutan insurans untuk kehilangan pendapatan ke atas hasilnya bernilai RM14 juta disebabkan masa henti yang tidak berjadual," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham itu dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham.- DagangNews.com