Dua syarikat perlombongan di Gua Musang diarah henti operasi serta-merta susulan dakwaan pencemaran sungai | DagangNews Skip to main content

Dua syarikat perlombongan di Gua Musang diarah henti operasi serta-merta susulan dakwaan pencemaran sungai

Gambar MiningWatch Portugal/ Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Dis - Dua syarikat perlombongan di Gua Musang, Kelantan, diarah menghentikan operasi serta-merta, susulan dakwaan mengakibatkan pencemaran di Sungai Kelaik yang terletak berhampiran.

 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, Aqua Orion Sdn Bhd menjalankan aktiviti perlombongan secara haram.

 

Satu kertas siasatan rasmi telah dibuka terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana beroperasi tanpa laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan.

 

Seksyen tersebut memperuntukkan denda maksimum RM100,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Nik Nazmi berkata syarikat kedua, Redstar Capital Sdn Bhd pula didapati tidak aktif dalam perlombongan atau pemprosesan bijih besi.

 

"JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan supaya menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada Aqua Orion sehingga laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

Katanya, pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas. - DagangNews.com