KUALA LUMPUR 12 Nov - Penyedia perkhidmatan pemprosesan minyak sawit terintegrasi, Ecoscience International Bhd (EIB), melalui anak syarikat milik penuhnya, Ecoscience Manufacturing & Engineering Sdn Bhd, meraih kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai RM200 juta daripada syarikat tenaga boleh diperbaharui, Wilhelmina Energy Malaysia Sdn Bhd (WEMSB).
Di bawah surat anugerah (LoA) tersebut, EIB akan menyediakan perkhidmatan EPC yang menyeluruh untuk kilang pelet hitam TG2 di Kuantan, Pahang.
Perkhidmatan itu akan merangkumi reka bentuk dan kejuruteraan, pemerolehan, jaminan kualiti peralatan dan bahan, pembinaan infrastruktur kilang dan aktiviti pengujian serta permulaan untuk menyokong projek dan memastikan piawaian operasi dipenuhi.
Terma dan syarat khusus akan dinyatakan dalam perjanjian EPC yang dijangka siap menjelang 30 November 2024.
LoA tersebut dianugerahkan menerusi perjanjian kerjasama (CA) dengan WEMSB yang ditandatangani pada Mac 2024, bertujuan mengubah sisa pertanian menjadi tenaga lestari, sekali gus mengurangkan penggunaan arang batu dan pelepasan karbon.
Pengarah Urusan EIB, Wong Choi Ong berkata, keyakinan dalam menyediakan penyelesaian tenaga dari sisa yang kukuh, selari dengan visi WEMSB untuk transformasi tenaga lestari.
"Projek ini merupakan padanan strategik untuk pengembangan kami dalam sektor kecekapan tenaga dan alam sekitar, berdasarkan kekuatan teras kami dalam membina kilang minyak sawit, kemudahan sokongan dan fabrikasi peralatan.
"Sebagai projek terbesar yang pernah kami laksanakan dalam sejarah syarikat, kami melihat ini sebagai peluang berharga untuk memperluas asas pelanggan kami, meningkatkan portfolio projek dan mengukuhkan kedudukan pasaran kami," katanya.
Kilang pelet hitam TG2 akan mengubah sisa tandan kosong buah sawit (EFB) menjadi pelet hitam TG2, sejenis bahan bakar pengganti arang batu.
Pelet hitam TG2 adalah sejenis pelet biofuel yang canggih, memberikan kelebihan berbanding pelet biomassa tradisional, termasuk boleh dikisar dengan baik, tahan terhadap air dan memiliki kepadatan tenaga yang lebih tinggi.
Sebagai bahan bakar pengganti, ia boleh diperbaharui dan boleh digunakan dalam loji kuasa arang batu yang sudah ada tanpa memerlukan pengubahsuaian infrastruktur yang signifikan.
Choi Ong berkata, EIB akan terus menyokong WEMSB dalam pengembangan kilang pelet hitam TG2.
"Selain skop EPC untuk kilang pelet hitam TG2, CA yang ditandatangani pada Mac 2024 juga merangkumi kemungkinan WEMSB mengalihkan operasi dan penyelenggaraan kilang (O&M) kepada EIB.
Kami sedang meneroka peluang ini, dan kedua-dua pihak akan membuat keputusan pada masa yang sesuai," ujar beliau. - DagangNews.com