KUALA LUMPUR 5 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengingatkan pelabur supaya lebih berhati-hati dengan potensi pergolakan ekonomi dan peningkatan ketegangan perdagangan di ASEAN selain menjangkakan kenaikan lebih banyak tarif import jika Donald Trump memenangi penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
Katanya, walaupun melihat peningkatan daripada faktor seperti pemulihan sektor pelancongan, pelaburan langsung asing (FDI) dan pelarasan kepada rantaian bekalan di seluruh rantau ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-6 dijangka berkembang 4.8% pada 2024 daripada 4.0% pada 2023 tetapi ia boleh terhalang jika Trump menang.
Firma itu dalam satu nota penyelidikan bertajuk 'Trumpian Trepidation', berkata, dinamik inflasi ekonomi AS semasa akan diperkukuh dengan cadangan Trump untuk menaikkan tarif dan meneruskan pengurangan cukai.
"Dinamik inflasi ekonomi AS semasa akan diperkukuh dengan cadangannya untuk menaikkan tarif dan melanjutkan pemotongan cukai, bermakna dolar AS boleh kekal kukuh dan mengurangkan ruang untuk bank pusat ASEAN melonggarkan dan mengurangkan kadar.
"Terdapat juga potensi lonjakan dalam ketegangan perdagangan, dengan kenaikan tarif boleh mengganggu ekonomi ASEAN dengan ketara kerana Trump mengancam untuk menaikkan tarif import ke China kepada 60% dan mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 10% ke atas negara lain.
"Kejutan perdagangan dan tarif yang begitu besar boleh melembapkan eksport/keseluruhan perdagangan dan mengganggu peralihan dalam rantaian bekalan ke ASEAN, dan pada masa sama melihat lebihan kapasiti/eksport China dialihkan ke pasaran lain seperti ASEAN, menimbulkan kejutan deflasi dan menghimpit pesaing domestik," katanya.
Maybank IB berkata, Trump mungkin lebih agresif menyasarkan negara ketiga yang dilihat sebagai saluran untuk barangan China mengikut tarif baru-baru ini yang dikenakan ke atas eksport panel solar ASEAN.
Justeru, ia mencadangkan pendekatan bertahan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai permintaan domestik yang stabil dan aliran tunai yang berdaya tahan.
Antara saham yang disarankan termasuk CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd, syarikat insurans Allianz Malaysia Bhd serta penyedia telekomunikasi CelcomDigi Bhd.
Selain itu, syarikat tenaga dan penjagaan kesihatan termasuk Tenaga Nasional Bhd, YTL Power International Bhd dan KPJ Healthcare Bhd.- DagangNews.com