Eksport Malaysia dijangka naik 3.9%, lebihan dagangan diunjur cecah RM130.9 bilion pada 2025 - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia dijangka naik 3.9%, lebihan dagangan diunjur cecah RM130.9 bilion pada 2025 - TA Securities

Gambar hiasan dari laman web rasmi MMC Ports
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Walaupun pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mungkin menimbulkan cabaran kepada sektor eksport Malaysia namun TA Securities menjangkakan ia akan meningkat sebanyak 3.9% pada 2025. 

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan sektor import akan berkembang sebanyak 4.1%, dengan lebihan dagangan diunjurkan pada RM130.9 bilion pada 2025.

 

Katanya, anggaran yang ditetapkan adalah stabil, mencerminkan landskap ekonomi global yang berkembang, walaupun pentadbiran Trump pada 2025 boleh memberi kesan kepada prestasi perdagangan Malaysia.

 

"Walaupun langkah perlindungan dan ketegangan geopolitik mungkin mewujudkan peluang eksport baharu, ia juga menimbulkan risiko kepada imbangan perdagangan dan kestabilan sektor.

 

"Malaysia perlu mengimbangi pergantungan eksportnya antara AS dan China, mempelbagaikan pasaran dan memastikan pematuhan dengan mana-mana dasar perdagangan baharu untuk mengekalkan lebihan dagangannya dan mengurangkan potensi cabaran," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Katanya, potensi dasar perlindungan di bawah Trump yang akan kembali semula, seperti tarif yang lebih tinggi ke atas barangan China boleh mewujudkan peluang untuk Malaysia mengisi jurang rantaian bekalan.

 

"Antara sektor yang terkesan daripada dasar dan tarif pentadbiran Trump termasuk elektronik, semikonduktor dan eksport jentera.

 

"Bagaimanapun, agenda "America First" Trump, yang banyak memberi tumpuan kepada mengurangkan defisit perdagangan, mungkin menimbulkan risiko," katanya.

 

Walaupun lebihan perdagangan Malaysia dengan AS meningkat semasa tempoh perkhidmatannya, hala tuju dasar yang sama pada 2025 boleh mengakibatkan penyiasatan perdagangan, kuota atau tarif yang menyasarkan eksport Malaysia dalam sektor utama seperti minyak sawit, sarung tangan getah dan elektronik.

 

Tambahan pula, lebihan perdagangan Malaysia yang semakin meningkat dengan AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini iaitu mencapai RM72.42 bilion pada 2023 meletakkannya sebagai sasaran yang berpotensi untuk langkah perlindungan.

 

Risiko ini menekankan keperluan untuk Malaysia mempelbagaikan pasaran eksportnya dan mengurangkan pendedahan kepada tindakan perdagangan unilateral.

 

Sementara itu, defisit perdagangan Malaysia dengan China semakin mendalam, mencecah RM100 bilion setakat 11 bulan tahun ini.

 

"Di sebalik trend yang semakin merosot dengan China, Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan perdagangan dengan negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Vietnam dan Kesatuan Eropah (EU) dengan lebihan dagangan masing-masing pada RM46.76 bilion, RM51.44 bilion, RM23.21 bilion dan RM13.05 bilion," katanya. - DagangNews.com