KUALA LUMPUR 6 Nov - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan kenaikan cukai minuman manis akan datang memberi kesan minimum memandangkan produk yang terjejas mewakili kurang daripada 1% jumlah sumbangan jualannya.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, kumpulan menyokong dasar kerajaan mengenakan cukai terhadap produk yang memiliki kandungan gula melebihi lima gram bagi setiap 100ml.
“Kami sedang menilai cara terbaik dalam menangani perkara ini kerana kami perlu mengubah acuan produk tertentu seperti minuman tenaga di mana gula memainkan peranan penting dalam membekalkan tenaga.
"Tanpa gula, kami tidak boleh menggantikannya dengan kafein dan taurin sahaja,” kata beliau semasa pembentangan keputusan kewangan kumpulan, hari ini.
Kumpulan menganggarkan kenaikan cukai minuman bergula bakal memberi kesan terhadap perbelanjaan cukai tambahannya kira-kira jumlah minimum sebanyak RM1.2 juta berbanding pendapatan tahunannya melebihi RM5 bilion.
Namun begitu, kumpulan itu sedang mencari cara untuk menambah baik resipi dan mengubah acuan produk bagi memenuhi kadar gula kurang daripada lima gram setiap 100ml.
Cukai gula pada masa ini dikenakan kepada rangkaian kecil produk F&N, termasuk F&N Renjer Rimau Energy Drink, F&N Teh Tarik dan susu steril Magnolia.
Seperti yang diperincikan dalam Belanjawan 2025, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman manis gula kepada 90 sen seliter tahun depan, daripada 50 sen pada masa ini.
Cukai tersebut akan dikenakan pada minuman sedia yang mengandungi lebih daripada lima gram gula setiap 100ml.- DagangNews.com