KUALA LUMPUR 20 Dis - Gabungan yang terdiri daripada 106 organisasi petani yang dikenali sebagai Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) dan pertubuhan awam mendesak kerajaan untuk menghentikan pembentangan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tumbuhan di Parlimen, dengan alasan sekatan pelesenan yang dicadangkan akan memberi kesan negatif kepada petani berskala kecil, bukannya menangani monopoli dalam industri tersebut.
Jelas forum berkenaan, sebaliknya, satu sesi rundingan perlu diadakan dengan petani bagi menjelaskan butiran tentang penilaian kesan rang undang-undang itu.
Katanya, Penyata Impak Peraturan (RIS) bagi rang undang-undang yang dikeluarkan pada Jun 2018 juga tidak mematuhi proses yang telah ditetapkan dan meminta agar penilaian impak yang betul dijalankan.
"Proses RIS itu tidak boleh dipercayai untuk menyokong pembentangan rang undang-undang. Rundingan pertama dengan pihak kami dijalankan pada 2019. Setakat yang kami tahu, tiada perbincangan dengan petani dan orang ramai sebelum RIS dikeluarkan pada 2018.
"Faktanya, draf Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tumbuhan hanya diumumkan oleh Setiausaha Agung Kementerian Pertanian pada 16 September 2018. Bagaimana RIS boleh disiapkan sebelum notis umum dikeluarkan?", kata FKMM dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh 106 pertubuhan petani dan pertubuhan awam.
Menurut kenyataan sama, rang undang-undang tersebut menyekat hak tradisional petani untuk berkongsi dan menjual benih secara bebas dalam kalangan keluarga, rakan-rakan dan orang ramai, kerana pelesenan adalah bentuk kawalan kerajaan dan bertentangan dengan hak petani di bawah undang-undang antarabangsa.
Kumpulan itu mendakwa, kos perlesenan dan pengurusan dikhuatiri akan menambah monopoli dan bukan mengurangkannya kerana syarikat-syarikat lebih mampu menanggung kos pelesenan dan pengurusan berbanding individu.
Kenyataan itu turut mengkritik denda dan hukuman penjara yang dikenakan atas ketidakpatuhan terhadap pelesenan.
"Kesalahan tidak mempunyai lesen boleh menyebabkan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
"Hukuman itu memperlihatkan petani seolah-olah melakukan kesalahan serius dan bertentangan dengan hak di bawah undang-undang antarabangsa," jelas FKMM.
Katanya, objektif rang undang-undang tersebut untuk mengelakkan pembeli benih daripada tertipu adalah dialu-alukan, namun mewajibkan pelesenan dan pemberitahuan kepada Jabatan Pertanian bagi semua individu yang menyimpan dan mengedarkan benih termasuk petani kecil adalah satu tindakan yang berlebihan dan hanya akan mengukuhkan monopoli syarikat benih.
"Kami percaya bahawa objektif rang undang-undang ini boleh dicapai melalui undang-undang sedia ada dan mesti melibatkan rundingan dengan petani dan orang ramai," tambahnya. - DagangNews.com