KUALA LUMPUR 22 Okt - Gamuda Bhd dan rakan kerjasaman (JV) memperoleh kontrak bernilai RM4.3 bilion daripada Jabatan Sistem Transit Rapid, Kerajaan New Taipei City bagi mereka bentuk dan membina bangunan bagi Transit Aliran Massa Xizhi Donghu (MRT) di Taiwan.
Kumpulan itu berkata, kerjasama itu melibatkan Gamuda yang memegang ekuiti sebanyak 75% dan dua syarikat yang berpusat di Taiwan, MiTAC Information Technology Corp (15%) serta Dong Pi Co Limited (10%).
"Menerusi pegangan ketara tu, Gamuda memiliki bahagian kontrak bernilai RM3.2 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Projek reka bentuk dan pembinaan itu dijangka siap dalam masa tujuh tahun, dengan skop kerja termasuk jejambat dan trek sepanjang 5.78 kilometer, enam stesen (di atas tanah) serta kerja sistem seperti 'rolling stock', bekalan tenaga, pintu skrin platform, sistem komunikasi, sistem pemantauan pusat, sistem pengumpulan tambang automatik dan peralatan penyelenggaraan depoh.
Usaha sama ini termasuk melaksanakan kerja tambahan bernilai RM10.8 bilion dengan pembinaan Depoh Penyelenggaraan Xizhi Donghu Line dan kerja trek bagi jajaran MRT Keelung dan Minsheng.
Jumlah nilai projek yang digabungkan dengan kerja tambahan ini adalah kira-kira RM15.1 bilion, manakala kontrak kerja sementara bahagian Gamuda sebanyak 75%, bernilai kira-kira RM8.1 bilion.
Katanya, projek itu merupakankemenangan terbesarnya sejak memasuki pasaran Taiwan dua dekad lalu.
"Kemenangan ini menunjukkan keupayaan konsisten kumpulan untuk mendapatkan projek bernilai tinggi dalam pasaran antarabangsa yang kompetitif.
"Ia mencerminkan rekod prestasi yang kukuh dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak berkuasa Taiwan terhadap kepakaran dan keupayaan kami dalam melaksanakan projek," katanya.
Ia berkata, projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif infrastruktur yang sedang dijalankan di New Taipei City di mana MRT adalah penting untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari populasi bandar raya itu.
"Kejayaan Gamuda di Taiwan dibina di atas asas yang kukuh, bermula dengan penyiapan MRT Kaohsiung Orange Line yang memenangi anugerah pada 2008 (dianugerahkan pada tahun 2002).
Sejak itu, syarikat telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pengangkutan moden di Taiwan, termasuk projek MRT Bawah Tanah Taoyuan City bernilai RM2.13 bilion pada 2022 dan MRT Kaohsiung Metropolitan Yellow Line bernilai RM3.45 bilion pada 2023.
"Kumpulan juga berjaya menyiap dan menyerahkan Jambatan Marin Guantang pada Oktober 2023 dan kami juga sedang membina Tembok Laut Pelabuhan Taipei dan Jalur Transmisi Bawah Tanah 161 kilovolt (kV) Songshu ke Guanfeng," katanya. - DagangNews.com