Gamuda dijangka capai sasaran buku pesanan RM35 bilion menjelang akhir tahun, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Gamuda dijangka capai sasaran buku pesanan RM35 bilion menjelang akhir tahun, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - MIDF Research positif terhadap kejayaan Gamuda Bhd meraih kontrak pusat data baharu, menjadikan kumpulan itu semakin hampir mencapai sasaran buku pesanan sebanyak RM35 bilion menjelang akhir tahun.

 

Katanya, buku pesanan tertunggak kumpulan itu kini meningkat kepada RM31.4 bilion dengan projek pusat data membentuk kira-kira 7.8% daripada buku pesanan mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berpotensi mengatasi sasaran buku pesanan RM35 bilion menjelang akhir tahun dengan projek baharu akan datang daripada LRT Pulau Pinang (RM4.56 bilion berdasarkan pegangan 60% kumpulan dalam konsortium SRS).

 

"Kumpulan itu kekal sebagai pilihan utama dalam sektor pembinaan, disokong rancangan pembesaran perniagaan di luar negara, kedudukan konsisten dalam merangkul merangkul kontrak besar dan menjadi pilihan utama untuk kebanyakan projek mega di Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda peroleh kontrak RM451.4 juta bina pusat data di Cyberjaya 

 

"Sebagai pembina pusat data premium, kumpulan itu kini hanya menumpukan pada pusat data hiperskala, menyokong penambahan buku pesanan yang besar," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerima kontrak bernilai RM451.4 juta daripada BCEI Malaysia Sdn Bhd bagi membina pusat data di Cyberjaya.

 

Kontrak itu akan meliputi kerja asas, sivil, struktur dan seni bina pusat data itu. Kerja-kerja dijangka bermula pada Disember 2024 dan dijangka siap pada suku pertama 2026.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM9.64 sesaham. - DagangNews.com