Gamuda peroleh kontrak RM8.3 bilion bagi pakej pertama projek LRT Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Gamuda peroleh kontrak RM8.3 bilion bagi pakej pertama projek LRT Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 13 Jan - Gamuda menerusi SRS Consortium Sdn Bhd, memperoleh pakej kerja awam pertama projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara bernilai RM8.3 bilion.

 

Projek itu dianugerahkan oleh MRT Mutiara Sdn Bhd, anak syarikat MRT Corporation Sdn Bhd. 

 

Kontrak reka bentuk dan binaan merupakan peristiwa penting dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan Pulau Pinang.

 

Sebagai kontraktor awam utama bagi segmen pertama projek itu, kerja itu melibatkan jejambat bertingkat sepanjang 23.7km dari Komtar ke Pulau A Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) 

 

Pakej itu juga merangkumi 19 stesen (di atas tanah) dan satu stesen sementara di Pulau A PSR, sebuah depoh di Pulau A PSR untuk penyelenggaraan ringan dan berat serta struktur sampingan, pemindahan utiliti dan perkhidmatan, bangunan utiliti, kerja permukaan luaran dan kerja lain yang berkaitan.

 

“Anugerah itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan teknikal dan rekod prestasi kami dalam menyempurnakan projek infrastruktur yang kompleks, dalam dan luar negara.

 

"Laluan Mutiara Pulau Pinang mewakili pembangunan transformatif untuk landskap pengangkutan awam Pulau Pinang, dan kami komited menyampaikannya mengikut bajet dan tepat pada masanya dalam pelaksanaannya," kata Gamuda dalam satu kenyataan.

 

Projek itu dijadualkan siap dalam tempoh enam tahun dari notis untuk diteruskan.- DagangNews.com