Gamuda raih kontrak RM3 bilion bagi pembinaan loji hidroelektrik 187.5 MW di Tenom, Sabah | DagangNews Skip to main content

Gamuda raih kontrak RM3 bilion bagi pembinaan loji hidroelektrik 187.5 MW di Tenom, Sabah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Gamuda Bhd menerima kontrak bernilai RM3 bilion bagi membangunkan loji hidroelektrik 187.5 megawatt (MW) di Tenom, Sabah

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda yang juga merupakan kontraktor utama projek itu telah menerima surat anugearah (LoA) daripada Upper Padas Power Sdn Bhd melalui usaha sama (JV) bersama Conlay Construction Sdn Bhd. 

 

Di bawah kerjasama itu, Gamuda and Conlay, masing-masing akan mendapat kepentingan sebanyak 75% dan 25%.

 

Katanya, projek tersebut melibatkan skop kerja termasuk reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan loji hidroelektrik 187.5MW.

 

“Selain itu, kami juga aka membina empangan konkrit padat roller, janakuasa utama dan sekunder, sistem pengangkutan air, akses projek dan kemudahan lain. 

 

“Ini termasuk limbungan suis 275kV, talian sub-transmisi 33 kilo-watt (kV), bengkel, stor dan kemudahan operasi serta sebuah kampung kediaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Gamuda berkata, projek pembangunan itu dijangka siap pada atau sebelum 31 Disember 2030. 

 

“Setelah siap, Projek itu akan menyampaikan purata tenaga bersih 1,052GWj setahun, meningkatkan kapasiti semasa Sabah yang boleh dipercayai sebanyak kira-kira 15% dan menggandakan campuran tenaga boleh diperbaharui (RE).


 
“Projek ini selaras dengan matlamat Negeri untuk mencapai kira-kira 35% bahagian RE dalam campuran penjanaannya menjelang 2035,” katanya.- DagangNews.com