GoBarakah muncul juara FIKRA ACE Accelerator anjuran SC, terima wang tunai RM50,000 | DagangNews Skip to main content

GoBarakah muncul juara FIKRA ACE Accelerator anjuran SC, terima wang tunai RM50,000

Juara program SC FIKRA ACE Accelerator 2024, GoBarakah (tiga dari kiri), diikuti Products2U (kiri sekali) di tempat kedua dan Koha Digital (kanan sekali) di tempat ketiga. Hadiah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Strategi Digital dan Inovasi SC, Dr. Wong Huei Ching (tiga dari kanan), serta Pengurus Bersekutu Penyelesaian Pengetahuan di Institut Bank Pembangunan Islam (IsDBI), Dr. Hilal Houssain (tengah).
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt - GoBarakah dinobatkan selaku juara FIKRA ACE Accelerator anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang bertujuan memajukan pasaran modal Islam (ICM) dengan memudahkan syarikat melancarkan rumusan teknologi kewangan Islam yang inovatif.

 

GoBarakah merupakan platform e-baucar patuh syariah yang membantu mengagihkan derma serta zakat dan memastikan 100% derma itu sampai kepada penerima yang disahkan.

 

Sebagai pemenang, GoBarakah menerima hadiah wang tunai RM50,000 manakala pemenang tempat kedua Producst2U membawa pulang RM30,000. 

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, penyedia teknologi kewangan (fintech) mesti memanfaatkan potensi transformatif teknologi yang masih berkembang untuk membina pasaran modal yang inklusif, boleh diakses, cekap dan mampan.

 

"Melalui inisiatif seperti FIKRA ACE, aFINity, DIGID dan GROW, kami secara proaktif membiayai dan memudahkan model perniagaan baharu.

 

"Tahun ini, kami telah mengembangkan SCxSC untuk memupuk penglibatan yang lebih besar. Kami telah mengadakan lebih 10 acara, termasuk dialog kepimpinan, sesi meja bulat dan sesi pembentangan. 

 

"Kami juga memfokuskan kepada kecerdasan buatan (AI), tokenisasi, keselamatan siber dan RegTech," katanya dalam satu kenyataan selepas perasmian sidang kemuncak fintech SCxSC 2024 yang bertemakan "Where Innovation Meets Purpose". 

 

Menurut SC, pada fasa pertama, sejumlah 25 syarikat pemula telah dipilih untuk menjadi sebahagian daripada FIKRA ACE Accelerator 2024. 

 

Daripada jumlah itu, 10 syarikat pemula terbaik dipilih sebagai finalis untuk mempamerkan rumusan mereka kepada panel hakim dan bakal pelabur. 

 

Program intensif FIKRA ACE Accelerator selama lapan minggu itu merangkumi bimbingan, sokongan untuk akses dan keterlihatan pasaran, dan penglibatan dengan SC bagi panduan kawal selia.

 

Sementara itu, kohort 2024 dianjurkan dengan kerjasam NEXEA dan rakan ekosistem Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Bank Pembangunan Islam (IsDB).- DagangNews.com