KUALA LUMPUR 10 Okt - Great Wall Motor (GWM) Malaysia mengumumkan pelancaran GWM HAVAL H6 HEV di Malaysia, sejenis SUV C-segmen yang menggabungkan teknologi hybrid serba canggih, reka bentuk menarik dan ciri-ciri terkini dengan harga hanya RM139,800.
Bagi meraikan pelancaran itu, GWM Malaysia menawarkan pakej menarik kepada pembeli iaitu servis penyelenggaraan percuma selama 5 tahun kepada pemilik yang mendaftarkannya pada tahun ini, rebat RM3,000 kepada pemilik yang melakukan tempahan selewat-lewatnya pada 20 Oktober 2024 dan rebat tambahan RM3,000 kepada pemilik kenderaan GWM sedia ada.
Naib Presiden GWM Global, James Yang berkata, pelancaran GWM HAVAL H6 HEV dengan pemasangan tempatan (CKD) itu menandakan langkah ke hadapan yang signifikan untuk GWM di Malaysia berdasarkan pengenalan kenderaan berteknologi serba canggih yang memenuhi setiap keperluan pemandu moden yang mengutamakan kelestarian, prestasi dan keselamatan.
"Kami benar-benar yakin bahawa GWM HAVAL H6 HEV akan menjadi pilihan ideal kepada mereka yang mencari SUV dengan tawaran harga yang berbaloi," katanya dalam satu kenyataan.
Dinobatkan sebagai SUV terlaris di China selama 9 tahun berturut-turut, GWM HAVAL H6 membuktikan reputasinya yang unggul, dengan rekod jualan global melebihi empat juta unit.
Rangkaian kuasanya yang inovatif, menggabungkan kuasa petrol dan elektrik untuk memberikan pemanduan yang lancar dan efisien, dengan penjimatan bahan api yang menakjubkan.
GWM HAVAL H6 HEV dikuasakan oleh enjin turbo hibrid 1.5L yang menggabungkan prestasi hebat dan penjimatan bahan api yang efisien, manakala dengan gabungan kuasa 243 PS dan 530 Nm tork, ia menjanjikan pecutan yang lancar dan pengendalian responsif.
Bukan hanya teknologi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) menjamin pecutan yang mengagumkan 0-100 km/jam dalam hanya 7.7 saat, GWM HAVAL H6 HEV juga didatangkan dengan mod Parallel Drive yang inovatif, memastikan peralihan yang cekap antara sumber kuasa serta pecutan dan pemanduan yang lancar sepanjang masa.
Bukan itu sahaja, dengan penggunaan bahan api pada kadar 5.8L/100km, pembeli boleh menikmati jarak perjalanan sehingga 1,000 km dengan satu tangki penuh.
GWM HAVAL H6 HEV menampilkan reka bentuk luaran yang menarik dan ideal, dilengkapi lampu depan LED ultra-terang dan lampu belakang LED mendatar yang meningkatkan kualiti penglihatan pada waktu malam untuk pemanduan yang lebih selamat serta menyerlahkan lagi kehadirannya di jalan raya.
Bahagian hadapan kenderaan itu menampilkan gril Star Matrix dengan rekaan geometri yang memberikan imej unggul dan mewah di samping menambah baik aliran udara untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.
Lampu brek dual centre spoiler mempunyai reka bentuk futuristik yang meningkatkan daya penglihatan untuk pemandu di belakang, terutamanya sewaktu membrek, sementara rekaan yang kukuh untuk SUV itu dilengkapkan dengan rim aloi ‘sporty’ 19-inci yang menawarkan ketahanan, pengendalian unggul dan kestabilan di lebuh raya dan permukaan jalan yang mencabar.
Reka bentuk GWM HAVAL H6 HEV meletakkan keutamaan kepada keselesaan dan kemudahan pengguna, dilengkapi dengan pelarasan kuasa 8-hala termasuk sokongan lumbar untuk pengalaman pemanduan peribadi penuh selesa.
Fungsi Boss Switch membolehkan penumpang belakang melaraskan tempat duduk penumpang hadapan untuk keselesaan tambahan, sementara ciri-ciri tempat duduk hadapan berventilasi dan ergonomik serta bumbung panoramik menawarkan pengalaman relaksasi tanpa bandingan.
Kenderaan itu juga dilengkapi dengan tombol gear berputar yang bukan sahaja memudahkan pertukaran gear, malah menambahkan nilai estetika untuk ruang dalaman serba moden.
GWM HAVAL H6 HEV dilengkapi dengan ruang but luas berkapasiti 560L untuk memuatkan barangan bersaiz besar, malah sekiranya ruang lebih luas diperlukan, tempat duduk belakangnya boleh dilipat dengan nisbah 60:40, yang menawarkan ruang sehingga 1,485L, sesuai untuk percutian keluarga atau membawa segala jenis barangan dalam jumlah besar dengan had yang luar biasa.
SUV berkenaan juga dilengkapi dengan rangkaian teknologi terkini yang memfokuskan untuk meningkatkan pengalaman praktikal dan ciri-ciri hiburan untuk setiap penumpang dengan bahagian hadapan dilengkapi paparan infotainment 12.3-inci yang menyediakan sokongan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta panel instrumen digital 10.25-inci untuk maklumat kemaskini kenderaan.
Selain itu, kamera 360 darjah dengan Fungsi Casis Lutsinar menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan terkawal.
GWM HAVAL H6 HEV dilengkapi dengan sistem L2 Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist (LKA), Traffic Sign Recognition (TSR), Lane Change Assist (LCA) dengan Blind Spot Detection (BSD).
Satu ciri yang paling menyerlah ialah Auto Reversing Assistance (ARA), yang berfungsi untuk mengenal pasti laluan apabila kenderaan dipandu di bawah kelajuan 30 kilometer sejam, dan boleh mengundur mengikut laluan yang sama dengan jarak sehingga 50 meter.
Selain itu, GWM HAVAL H6 HEV juga dilengkapi dengan enam beg udara yang ditempatkan secara strategik dan rangka badan yang dibina menggunakan 71.61% keluli berkekuatan tinggi serta keluli thermoformed 2000MPa, yang menjamin perlindungan menyeluruh dari setiap sudut.
Untuk pasaran Malaysia, GWM Malaysia memperkenalkan GWM HAVAL H6 HEV dengan lima pilihan warna menarik iaitu Energy Green, Ayers Silver, Crayon Grey, Hamilton White, dan Sun Black. - DagangNews.com