KUALA LUMPUR 22 Okt - Pengeluar bahan kimia pertanian dan racun rumpai, Ancom Nylex Bhd dijangka meningkatkan harga jualan kepada pelanggan secara beransur-ansur bagi menangani kenaikan kos, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Katanya, pendapatan teras kumpulan sebanyak RM13.8 juta pada 1QFY25 jatuh daripada anggarannya disebabkan lonjakan kos pengangkutan, kerana China mahu menyelesaikan penghantaran barangan menjelang kenaikan tarif yang dijadualkan Amerika Syarikat (AS) pada Ogos ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangkutan kontena ke Argentina dan Brazil meningkat tiga kali ganda dari Mac hingga Julai 2024, menyebabkan peningkatan RM7 juta dalam perbelanjaan pengangkutan kumpulan suku ke suku.
Bagaimanapun, kos penghantaran dari Ogos hingga Oktober 2024 turun sebanyak 30% daripada kemuncaknya, walaupun ia kekal lebih tinggi daripada paras rendah yang dilihat pada awal tahun ini.
Memandang ke hadapan, HLIB Research berkata, volum jualan agrichem kumpulan itu, terutamanya untuk racun herba monosodium methanearsonate (MSMA), dijangka meningkat pada FY25 berakhir 31 Mei 2025, memandangkan keadaan cuaca yang agak basah di Asia Tenggara.
Ancom Nylex telah menyerahkan pendaftaran label MSMA untuk tanaman kacang soya di Brazil dan menyasarkan untuk mendapatkan kelulusan menjelang pertengahan 2025.
“Kami perhatikan bahawa keluasan tanaman kacang soya di Brazil adalah lima kali lebih besar daripada tanaman tebunya. Pada masa ini, 11,000 daripada 15,000 liter kapasiti setahun sedang digunakan.
“Memandangkan pasarannya yang boleh dialamatkan yang besar iaitu lebih 100,000 liter setahun, kejayaan penembusan ke dalam pasaran kacang soya Brazil mungkin menjamin Ancom Nylex pengembangan kapasiti MSMA,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, bahan kimia T dan S dijangka mula dipasarkan pada tahun hadapan.
Katanyanya, bahan kimia T menghadapi kelewatan lanjut hingga suku pertama 2025 disebabkan pemasangan berterusan talian untuk menghasilkan perantaraan dalaman.
Ancom Nylex menyasarkan untuk memulakan pengeluaran besar-besaran bahan aktif baharunya iaitu bahan kimia S, menjelang suu kedua 2025 selepas siap pemasangan mesin menjelang suku keempat tahun ini.
“Kimia S akan digunakan pada tanaman padi dan bijirin untuk pasaran Brazil.
"Kami melihat bahan aktif baharu sebagai satu lagi pemacu pendapatan utama kerana pengurusan menganggarkan harga jualannya empat kali lebih tinggi daripada kimia T," katanya.- DagangNews.com