Harga simen September 2024 naik hampir 3% berbanding bulan sama tahun lalu - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga simen September 2024 naik hampir 3% berbanding bulan sama tahun lalu - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Harga simen didapati meningkat antara 0.2% hingga 2.9% bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi perbandingan secara tahunan untuk tempoh September 2023 dan September 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit simen juga merekodkan peningkatan antara 0.1% hingga 0.9% bagi kebanyakan kawasan pada September 2024 berbanding bulan lepas.

 

Beliau berkata, peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.9%), diikuti dengan Pahang (2.7%) dan Tawau (2.2%).

 

 

"Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan penurunan kecil (-0.4%) dengan purata harga RM23.23 per 50 kg sekarung berbanding Ogos 2024 (RM23.33 per 50 kg sekarung)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata indeks harga seunit pasir mencatatkan peningkatan antara 0.5% hingga 1.3% bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada September 2024.

 

dosm

 

Namun begitu, katanya kadar kenaikan bagi indeks harga bahan ini adalah lebih rendah berbanding dua bulan sebelumnya.

 

Katanya, indeks seunit harga besi merekodkan penurunan antara 0.6% hingga 5.7% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Penurunan tertinggi dicatatkan bagi Perak (-5.7%), diikuti dengan Kota Kinabalu (-2.3%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-1.7%).

 

"Tambahan itu, terdapat penurunan dalam indeks harga seunit keratan keluli & logam iaitu dengan peratus penurunan antara 0.1% hingga 2.7% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

"Penurunan tertinggi telah direkodkan di Miri (-2.7%), diikuti dengan Sibu (-2.4%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-1.6%)," katanya.

 

Sementara itu, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) dengan bar keluli untuk semua kategori bangunan merosot sebanyak - 0.4% kepada 2.3% bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia pada September 2024 berbanding bulan sebelumnya.

 

Penurunan IKB dengan bar keluli direkodkan untuk hampir semua kategori bangunan kecuali bangunan kayu dan cerucuk kayu di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak , Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

 

Bagaimanapun, IKB dengan bar keluli naik sejumlah 0.1% hingga 0.3% bagi beberapa kategori bangunan di Johor dan Pahang.

 

Selain daripada itu, IKB termasuk bar keluli di Sabah juga turut menunjukkan penurunan iaitu antara - 0.1% hingga - 1.1% merangkumi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Sandakan. Selain daripada itu, IKB untuk hamper semua kategori bangunan di Tawau pula kekal tidak berubah.- DagangNews.com