HMLTV MILDEF dapat perhatian angkatan tentera Filipina pada ADAS 2024 | DagangNews Skip to main content

HMLTV MILDEF dapat perhatian angkatan tentera Filipina pada ADAS 2024

HMLTV MILDEF mempunyai potensi besar bagi pasaran di Filipina.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 2 Okt - Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) terus menunjukkan komitmen untuk menembusi pasaran luar dengan penyertaan aktif dalam pameran pertahanan antarabangsa. 

 

Langkah syarikat automotif industri pertahanan tempatan ini merupakan usaha penting dalam memperkenalkan teknologi Malaysia kepada dunia.

 

Terbaru, MILDEF terlibat dalam pameran Asian Defense & Security (ADAS) 2024 yang berlangsung di World Trade Center, Metro Manila, Filipina. 

 

Pameran yang berakhir minggu lalu memberi peluang kepada syarikat untuk mempamerkan produk dan keupayaannya kepada delegasi antarabangsa.

 

Kenderaan
Pegawai-pegawai kanan tentera Filipina diberikan penerangan tentang kenderaan HMLTV MILDEF termasuk spesifikasi yang ditawarkan.

 

 

Kenderaan

 

 

Ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi MILDEF apabila terus menonjol sebagai syarikat pertahanan automotif tempatan, meskipun bukan gergasi industri. 

 

Kehadiran MILDEF dalam pameran ini membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa serta membuktikan bahawa negara turut mempunyai produk berkualiti untuk bersaing.

 

Tambah membanggakan apabila MILDEF merupakan satu-satunya syarikat pertahanan Malaysia yang menyertai ADAS 2024.

 

Sepanjang tahun ini, MILDEF telah menyertai beberapa pameran penting lain seperti Eurosatory 2024 di Paris, Perancis, serta DSA & NATSEC Asia di Kuala Lumpur.

 

MILDEF dijangka akan meneruskan momentum ini dengan penyertaan dalam pameran lain seperti Indo Defence 2024 di Jakarta dan Vietnam International Defence Expo 2024 tidak lama lagi.

 

 

Kenderaan
Senator Joseph Victor G. Ejercito (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Pengarah Urusan Mildef, Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa selepas melawat kenderaan HMLTV MILDEF.
 

 

Ini akan menjadi penyertaan kali kedua MILDEF di kedua-dua negara selepas penyertaan tahun lalu di Jakarta dan sebelumnya di Hanoi.

 

Pada ADAS 2024, MILDEF memperkenalkan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV).

 

Kenderaan ini boleh diubah suai mengikut keperluan sama ada sebagai kenderaan perisai ringan, rondaan atau tugas pengiring. 

 

Keupayaan serba guna HMLTV telah menarik perhatian delegasi yang terdiri daripada wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan.dan agensi kerajaan dari seluruh dunia.

 

Kenderaan

 

 

Kenderaan

 

 

Apa yang menarik, penyertaan MILDEF turut mendapat perhatian media pertahanan Filipina apabila menyebut kenderaan HMLTV buatan Malaysia ini antara yang ditawarkan kepada tentera negara itu.

 

Tentera darat Filipina ketika ini sedang meninjau untuk membeli 60 buah kenderaan HMLTV bagi keperluan tentera darat atau kor Marin.

 

HMLTV MILDEF difahamkan juga diintai pasukan polis Filipina sebagai kenderaan perisai ringan.

 

Ini juga memungkinkan kerjasama industri dipacu antara MILDEF dengan rakan industri di Filipina nanti sekiranya dipilih.

 

 

Kenderaan
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman turut meluangkan masa melawat ruang pameran MILDEF.

 

 

Kehadiran MILDEF dalam pameran antarabangsa ini bukan sahaja membuka peluang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama dengan negara lain, tetapi juga meningkatkan kepercayaan terhadap kualiti produk pertahanan tempatan.

 

Dengan penyertaan aktif pada acara seperti ini, MILDEF berjaya menonjolkan kemampuan teknologi pertahanan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri ini. 

 

Melalui pameran-pameran pertahanan antarabangsa, MILDEF juga dapat mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan pasarannya pada peringkat global. - DagangNews.com