KUALA LUMPUR 28 Okt - Homeritz Corp Bhd diramal terus berdepan tekanan kos kesan daripada cadangan kenaikan gaji minimum di dalam Belanjawan 2025, kata Public Investment Bank (PublicInvestment).
Katanya, ia juga ditambah dengan kenaikan harga bahan mentah utama, kulit.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak begitu memberi impak kepada kumpulan itu kerana mereka dapat melepaskan kos kepada pelanggan terutamanya dengan aliran pesanan jangka pendek.
"Namun begitu, kami tetap optimis tentang inisiatif berterusan kumpulan, terutamanya penyertaan aktifnya dalam pameran perabot untuk menarik pelanggan baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil 4QFY24 Homeritz meningkat 22.8% kepada RM56.5 juta, didorong oleh jualan eksport yang lebih kukuh, disokong oleh pemerolehan pelanggan baharu.
Bagaimanapun, peningkatan dalam volum jualan, untung kasar kumpulan turun 12% kepada RM9.2 juta pada 4QFY24 daripada RM10.4 juta pada 4QFY23, terutamanya disebabkan oleh kenaikan 40% hingga 50% dalam kedua-dua kos buruh dan bahan mentah.
Akibatnya, margin untung kasar Homeritz dan margin keuntungan bersih masing-masing turun 6.4% dan 5.2%.
"Pada asas suku tahun ke suku tahun, kami mendapati penurunan dalam volum jualan terutamanya daripada pelanggan AS, membawa kepada kadar penggunaan yang lebih rendah sebanyak 40%-50% pada 4QFY24, turun daripada 60% pada 3QFY24.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan untuk FY25-FY26 dan mengulangi penarafan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi sebanyak 62 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com