IPOH 18 Dis - Perak ingin menjadi destinasi pelancongan mesra warga emas yang mana segmen tersebut mampu mengukuhkan pelancongan ekonomi tempatan.
Sebagai permulaan, percutian eksklusif dengan harga yang lebih mampu milik diperkenalkan melalui Program Sanjung Perak Sejahtera 2030 khusus kepada penduduknya.
Program ini menawarkan penginapan pada harga RM180 semalam dan diskaun 15% untuk hidangan ala carte di Coffee House Hotel Casuarina@Meru.
Harga bilik pada hari biasa ialah antara RM280 hingga RM320 semalam.
Projek perintis ini merupakan inisiatif sosial yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melalui anak syarikatnya, Hotel Casuarina@Meru.
Ia disokong Sekretariat Wanita Perak (Wanita Perak) bagi diskaun pembelian baucer penginapan kepada warga emas.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, Program Sanjung merupakan satu pendekatan yang dirancang untuk mengintegrasikan elemen sosial dalam usaha mencapai keseimbangan ekonomi.
Menurut beliau, ia menerapkan elemen inovasi melalui idea dan konsep dalam meningkatkan kesejahteraan sosial selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
“Kami menyahut seruan kerajaan negeri dalam Program Sanjung ini yang mana Hotel Casuarina@Meru memberi tumpuan keselesaan, keselamatan dan kebolehgunaan kemudahan bagi golongan ini.
“Sebagai peneraju hospitaliti di negeri Perak, PKNPk dan Hotel Casuarina amat prihatin terhadap kemudahan yang selesa kepada OKU dan warga emas.
“Beberapa penambahbaikan telah dibuat seperti penyediaan parkir khas yang lebih banyak, kemudahan ramp, panic button di bilik penginapan dan tandas khas di lobi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 300 baucar disediakan untuk promosi ini.
Penebusan boleh dibuat melalui laman sesawang www.casuarinahotels.com.my manakala pautan borang atas talian Google juga boleh didapati di laman Facebook dan laman sesawang Sekretariat Wanita Perak.
Tambah Redza Rafiq lagi, terdapat tarikan istimewa yang lain di sekitar Hotel Casuarina@Meru seperti pemandangan indah Banjaran Titiwangsa, kemudahan riadah untuk seisi keluarga di Bulatan Sultan Azlan Shah dan berdekatan Taman Rimba Kledang Saiong.
Katanya, lokasi Hotel Casuarina@Meru ini juga berhampiran dengan bandar Ipoh yang terkenal dengan pelbagai tarikan menarik lain.
“Selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 ini, kita akan memperluaskan Program Sanjung di rangkaian hotel kami yang lain seperti di Hotel Casuarina@Pangkor dan Hotel Casuarina@Kuala Kangsar pada masa akan datang.
“Ia sudah tentu bakal memperkasakan sektor pelancongan Perak, mampu menarik lebih ramai pelancong ke hotel tempatan sekali gus merancakkan ekonomi setempat.” ujarnya. - DagangNews.com