Industri penerbangan Malaysia diramal alami pertumbuhan positif pada 2025 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Industri penerbangan Malaysia diramal alami pertumbuhan positif pada 2025 - Maybank IB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Dis - Industri penerbangan Malaysia diramal mengalami pertumbuhan positif pada tahun depan apabila kerajaan menyasarkan lebih banyak pelancong asing ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).

 

Keadaan itu turut didorong dengan harga tambang yang lebih rendah apabila lebih banyak pesawat beroperasi, di samping nilai ringgit yang mengukuh serta penurunan harga bahan api jet.

 

Berdasarkan keadaan itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research) yang positif terhadap saham penerbangan, memberikan saranan beli untuk AirAsia X Bhd (AAX), dan pegang untuk Capital A Bhd.

 

Menurut firma penyelidikan itu, keupayaan AAX untuk memastikan hampir semua pesawatnya beroperasi dan pengambilalihan semua syarikat penerbangan serantau di bawah Capital A mulai awal 2025, akan memastikan penjanaan pendapatan dan keuntungan.

 

"Kami menjangkakan industri penerbangan bertambah baik tahun depan apabila 100% armada Capital A dan AAX dijangka kembali beroperasi menjelang akhir suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025 (1Q25). 

 

"Walaupun kami menjangkakan harga tambang akan turun, ia tidak akan mencecah harga sebelum Covid-19," jelas Maybank IB Research dalam satu kenyataan.

 

Firma itu memberitahu, harga tambang untuk tahun depan dijangka berada pada kadar purata RM234 untuk Capital A dan RM535 untuk AAX.

 

Jelasnya, Capital A dan AAX akan melaporkan pendapatan yang lebih baik untuk 4Q24, dengan Capital A menjangkakan faktor muatan 88% berbanding 89% pada 3Q24, tambang purata RM235 berbanding RM231 dan hasil sampingan purata setiap penumpang melebihi RM50 berbanding RM52.

 

"AAX menjangkakan jumlah penumpang dan tambang purata akan meningkat dari suku ke suku (q-o-q) disebabkan oleh permintaan bermusim yang lebih tinggi.

 

"Ia menjangkakan tambang purata 4Q24 adalah serupa dengan RM619 pada 4Q23, yang mencatatkan kenaikan 40% berbanding q-o-q. Pada masa yang sama, dalam perkembangan positif untuk kedua-dua Capital A dan AAX, harga bahan api jet spot telah turun kepada AS$87 setiap tong berbanding purata 3Q24 iaitu AS$92 setiap tong," katanya.

 

Tambahnya, AAX berharap dapat menyiapkan penempatan swasta RM1 bilion pada Disember 2024, manakala Capital A berharap dapat menyelesaikan penjualan lima syarikat penerbangannya kepada AAX dan mengemukakan pelan regularisasi PN17 kepada Bursa Malaysia pada 1Q25 serta memperoleh kelulusan untuk menghapuskan pengkelasan PN17 pada separuh pertama 2025.

 

Dalam pada itu, Maybank IB Research berkata, tahun 2025 akan menyaksikan pertambahan kemasukan pelancong asing ke Malaysia menjelang VMY 2026 dengan sasaran 31.4 juta pelancong oleh Tourism Malaysia, berbanding anggaran 27.3 juta pada 2024.

 

"Ini akan memberi kesan positif kepada AAX kerana hampir 100% operasi AAX melibatkan laluan antarabangsa," jelasnya. - DagangNews.com