Petronas semak semula produktiviti untuk tingkatkan kecekapan dan fokus pada nilai tambah | DagangNews Skip to main content

Petronas semak semula produktiviti untuk tingkatkan kecekapan dan fokus pada nilai tambah

KUALA LUMPUR 30 Dis - Petronas sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap produktiviti syarikat untuk memperkemaskan kaedah kerja, menghapuskan ketidakcekapan atau pembaziran, serta memberi tumpuan kepada usaha yang dapat memberikan nilai. 

 

Syarikat minyak nasional itu berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmennya untuk melaksanakan strategi peralihan tenaga sambil melaksanakan penambahbaikan berterusan dengan menjadi lebih fokus secara operasi, tangkas dari segi komersial dan cekap kos.

 

"Dalam melaksanakan mandat seperti yang termaktub di bawah PDA 1974, Petronas tetap komited untuk terus mencipta nilai untuk pemegang sahamnya.

 

"Untuk mencapai tujuan tersebut, Petronas perlu memastikan ia dapat terus bersaing dalam landskap sektor tenaga di dalam negara dan di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

 

Petronas berkata demikian sebagai maklum balas kepada Bernama mengenai laporan berita yang menyebut kumpulan itu dijangka mengalami kerugian hasil kira-kira 30 peratus apabila formula yang dipersetujui untuk pengedaran gas asli di Sarawak dilaksanakan.

 

Laporan berita itu menyatakan, syarikat minyak dan gas nasional itu yang merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai dalam senarai Global Fortune 500, mungkin terpaksa membuat beberapa keputusan sukar mengenai tenaga kerja mereka ekoran perjanjian pengedaran gas tersebut, yang butirannya masih belum didedahkan.

 

Konflik antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak berhubung hak pemilikan eksklusif ke atas semua sumber petroleum di daratan dan luar pesisir, masih belum selesai.

 

Menurut Seksyen 2 Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Petronas memegang hak berkenaan, namun Sarawak mempertahankan haknya melalui Ordinan Minyak dan Perlombongan (OMO) 1958, dengan mendakwa bahawa undang-undang tersebut masih sah dan boleh wujud bersama PDA.

 

Kerajaan negeri berhujah, pelantar benua tersebut berada dalam sempadan Sarawak sejak 1954, berdasarkan perintah Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II. 

 

Sempadan itu, menurut Sarawak kekal utuh ketika negeri tersebut menyertai Malaysia pada 1963. - DagangNews.com