Jabatan Tenaga Kerja buka 8 kertas siasatan terhadap Kawaguchi Manufacturing | DagangNews Skip to main content

Jabatan Tenaga Kerja buka 8 kertas siasatan terhadap Kawaguchi Manufacturing

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 18 Dis - Jabatan Tenaga Kerja telah membuka lapan kertas siasatan terhadap Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd dan penyedia penginapan kerana kelewatan pembayaran gaji dan kekurangan pensijilan untuk kemudahan penginapan mereka.

 

JTK berkata tuntutan buruh difailkan bulan lepas oleh 57 pekerja Bangladesh terhadap syarikat itu, berjumlah RM806,310.

 

“Pada September 2024, jabatan menerima laporan tidak rasmi daripada pekerja syarikat berkenaan isu berkaitan pembayaran gaji, bayaran lebih masa dan keadaan penginapan yang tidak sesuai.

 

"Pejabat JTK Pelabuhan Klang menjalankan siasatan dan mendapati isu yang dibangkitkan adalah sah. Pekerja dinasihatkan memfailkan tuntutan buruh terhadap syarikat itu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada 14 Dis, jabatan itu berkata rundingan melibatkan jabatan itu, wakil dari Kedutaan Bangladesh dan syarikat Kwaguchi diadakan tetapi berakhir dengan jalan buntu.

 

"Syarikat itu mencadangkan untuk menyelesaikan gaji tertunggak secara ansuran sehingga September 2025, tetapi ini mendapat tentangan daripada pekerja, yang berkeras mahu bayaran penuh mereka menjelang akhir tahun," kata kenyataan itu.

 

Jabatan itu juga berkata perbincangan akan diadakan lagi berhubung proses pemindahan ke majikan baharu di bawah program khas yang melibatkan 204 pekerja asing yang memegang permit sah.

 

"Jabatan buruh akan memastikan isu yang dihadapi oleh pekerja di syarikat itu ditangani secara adil dan kebajikan mereka dilindungi," katanya.

 

Pada 14 Dis, kira-kira 220 pekerja Bangladesh membuat bantahan di luar kilang Kawaguchi di Pelabuhan Klang, menuntut tujuh bulan gaji tidak dibayar. - DagangNews.com