Johar Che Mat letak jawatan sebagai Pengerusi MNRB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johar Che Mat letak jawatan sebagai Pengerusi MNRB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb — MNRB Holdings Berhad mengumumkan Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutifnya, Datuk Johar Che Mat meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 12 Februari lalu atas faktor komitmen peribadi.

 

Beliau yang dilantik menyandang jawatan tersebut pada Julai 2019, merupakan antara Ahli Jawatankuasa Pengurusan Risiko Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pelaburan Kumpulan syarikat berkenaan.

 

Selain itu, beliau juga memegang jawatan Pengerusi Malaysian Reinsurance Berhad, Takaful Ikhlas Family Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad, Malaysian Re (Dubai) Ltd dan Edelteq Holdings Sdn Bhd.

 

Johar memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya pada 1975 dan memiliki pengalaman selama 36 tahun dalam industri perbankan setelah memulakan kerjaya sebagai Pegawai di Jabatan Perdana Menteri pada 1975.

 

Setahun kemudian, beliau menyertai Malayan Banking Berhad dengan berkhidmat di pelbagai bahagian termasuk sebagai Pengurus/Pengurus Kanan meliputi perbankan transaksi (operasi), kewangan runcit, pemasaran runcit dan perbankan swasta.

 

Dari 1993 hingga 1995 pula, beliau pernah dilantik sebagai Pengurus Wilayah bagi cawangan perbankan tersebut di Selangor dan Negeri Sembilan.

 

Pada tahun 1996, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar, Bahagian Perbankan Komersial dan seterusnya berkhidmat sebagai Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perbankan Korporat dan Perbankan Perusahaan pada tahun 2000.

 

Beliau pada 2002 dinaikkan pangkat sebagai Naib Presiden Eksekutif Kanan, Perkhidmatan Kewangan Runcit dan selepas itu dilantik pula sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Maybank dari 2006 hingga 2010.

 

Selain itu, Johar merupakan Pengarah MBSB Bank Berhad, Dagang NeXchange Berhad, Ping Petroleum Ltd dan Motordata Research Consortium Sdn Bhd. - DagangNews.com