Jualan baharu SP Setia dijangka kekal stabil dipacu projek perbandaran dengan GDV RM1.97 bilion - MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Jualan baharu SP Setia dijangka kekal stabil dipacu projek perbandaran dengan GDV RM1.97 bilion - MIDF Research 

MIDF berkata, pengiktirafan hasil SP Setia didorong oleh projek perbandarannya di Malaysia - Perumahan Candella 2, Kajang dibangunkan oleh SP Setia
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Nov - MIDF Research menjangkakan jualan baharu SP Setia Bhd kekal stabil disokong oleh pelancaran projek perbandaran dengan nilai pertumbuhan kasar (GDV) RM1.97 bilion. 

 

MIDF Reserach berkata, SP Setia mencatat untung bersih sebanyak RM395.8 juta yang berada di bawah jangkaan firma itu. 

 

"Antara faktor yang mengakibatkan prestasi itu mungkin kerana pengebilan yang lebih perlahan daripada jangkaan dan kadar cukai yang lebih tinggi pada 3QFY24. 

 

"Pendapatan yang lebih tinggi pada itu disumbangkan oleh keuntungan jualan tanah sebanyak RM634 juta yang mengimbangi sumbangan yang lebih lemah daripada projek Melbourne dan kerugian Stesen Janakuasa Battersea.

 

"Sementara itu, pengiktirafan hasil SP Setia didorong oleh projek perbandarannya di Malaysia yang dipacu oleh permintaan hartanah yang berdaya tahan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, secara keseluruhan, SP Setia mencatat jumlah jualan baharu sebanyak RM3.2 bilion pada 9MFY24 berada di landasan untuk memenuhi sasaran jualan baharu sebanyak RM4.4 bilion.

 

"Memandang ke hadapan, momentum jualan baharu dijangka kekal stabil disokong oleh pelancaran projek dengan jumlah GDV sebanyak RM1.97 bilion untuk baki tahun ini.

 

"Projek Setia Federal Hill Fasa 1 (GDV: RM1.4 bilion) dipratonton pada November dan akan dilancarkan secara rasmi pada awal 2025 itu akan menyokong pertumbuhan jualan baharu," katanya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas SP Setia dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.67 daripada RM1.72.- DagangNews.com