KUALA LUMPUR 11 Mac — Jumlah penganggur pada Januari 2025 berada dalam trend menurun apabila berkurang kepada 533,800 orang, dengan kadar 3.1 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2025.
Penemuan itu berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM sendiri dan ia memberi gambaran bahawa pasaran buruh Malaysia pada bulan tersebut berada dalam trend peningkatan serta mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam kedudukan ekonomi negara.
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi bulan berkenaan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan pada Januari 2025 adalah baik walaupun terdapat beberapa cabaran yang berlaku dalam isu perdagangan dan inflasi.
"Justeru, bilangan tenaga buruh pada bulan berkenaan terus bertambah, meningkat sebanyak 0.3 peratus perbandingan bulan-ke-bulan kepada 17.22 juta orang daripada hanya 17.17 juta orang pada Disember 2024," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal iaitu 70.6 peratus seperti direkodkan pada bulan sebelumnya. Trend positif dalam tenaga buruh ini ujarnya adalah didorong oleh peningkatan dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun.
Mohd Uzir turut menyatakan bahawa bilangan penduduk negara ini yang bekerja pada Januari 2025 terus bertambah, dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus untuk mencapai seramai 16.68 juta orang berbanding kira-kira 16.63 juta orang pada Disember 2024.
Sementara itu, bilangan penganggur turun sebanyak 0.9 peratus kepada 533,800 orang pada bulan tersebut daripada 538,500 orang pada bulan sebelumnya dengan kadar pengangguran adalah kekal iaitu sebanyak 3.1 peratus seperti yang direkodkan pada Disember 2024.
"Mengenai situasi guna tenaga pada Januari 2025, kategori pekerja, yang merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada seramai 12.56 juta orang (Disember 2024: 12.53 juta orang)," kata beliau.

Sementara kategori penduduk bekerja sendiri juga kata Mohd Uzir, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.09 juta orang pada Disember 2024 dengan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan yang stabil.
Ini terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit, serta aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial, malah sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut positif.
Menyentuh mengenai situasi pengangguran pada Januari 2025, beliau menyatakan bahawa 79.4 peratus daripada jumlah penganggur tersebut adalah jenis penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan masih lagi aktif mencari sebarang pekerjaan ditawarkan.
"Dalam kategori ini, bilangan tersebut berkurang sebanyak 0.5 peratus kepada 423,600 orang (Disember 2024: 425,700 orang). Jika mengikut tempoh bagi penganggur aktif, 63.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan," kata Mohd Uzir.
Sementara 5.6 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun manakala penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, menurun sebanyak 2.3 peratus kepada 110,200 orang daripada 112,800 orang pada Disember 2024.
Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun turun 0.1 mata peratus kepada 10.3 peratus, merekodkan 299,300 orang pada Januari 2025 (Disember 2024: 10.4 peratus; 301,400 orang) dan yang berumur 15 hingga 30 tahun kekal 6.3 peratus, dengan 402,400 orang.
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Januari 2025 kata Mohd Uzir, menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.03 peratus kepada seramai 7.15 juta orang, berbanding
7.16 juta orang yang direkodkan pada Disember 2024.
"Punca utama mereka tidak berada dalam tenaga buruh negara kita adalah berikutan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga yang merangkumi 43.6 peratus, diikuti oleh sebab bersekolah atau masih menjalani latihan sebanyak 41.8 peratus," kata beliau. - DagangNews.com








